Skip to content

Di mana subsidi saringan Covid-19 yang dijanjikan Perkeso? Kos kit ujian RTK-AG jauh kurang daripada itu

Kenyataan awal PERKESO mengenai subsidi ini adalah bahawa kesemua 1.7 juta pekerja asing akan menerima subsidi sebanyak RM60 setiap satu untuk menjalani saringan COVID-19 menggunakan RTK-AG. Namun begitu, laman web mereka kini menyatakan bahawa PERKESO akan membiayai kos kit ujian RTK-AG untuk klinik-klinik panel dan majikan perlu menanggung kos perkhidmatan klinik bagi setiap saringan.

Saya telah mengatur saringan yang sama untuk hanya RM70 yang merangkumi kos klinik / doktor dan kos kit ujian. Kit saya dibeli dari pembekal yang sama yang membekalkan kit ujian kepada KKM. Jumlah kit yang saya beli adalah dalam kuantiti yang jauh lebih kecil daripada apa yang akan dibeli oleh PERKESO. Ini bermaksud kit ujian mereka juga akan jauh lebih murah daripada harga yang saya beli. Saya dapat menjamin bahawa harga kit ujian hanya separuh daripada apa yang mereka rancang untuk memberi sebagai subsidi, memandangkan jumlah yang akan mereka beli.

Ini menimbulkan pertanyaan penting – adakah mereka memberi subsidi yang lebih rendah daripada jumlah yang dijanjikan, atau adakah terdapat “orang tengah” yang mengaut keuntungan daripada perjanjian ini?

Menteri yang bertanggungjawab untuk PERKESO, YB Datuk Seri Saravanan masih belum menjawab mengapa tidak semua klinik yang diiktiraf oleh KKM untuk melakukan saringan Covid dilibatkan dalam saringan ujian Covid yang besar ini. Di laman web mereka, tidak ada pengumuman untuk mendaftar / melibatkan klinik swasta mahupun kaedah pendaftaran tidak disediakan.

Laman web PERKESO turut menyatakan bahawa Klang dan Seremban akan memulakan penyaringan hari ini sementara zon merah lain akan mula disaring mulai 9 Disember. Sekiranya jumlah klinik tersenarai akan ditingkatkan berkesesuaian dengan rancangan saringan, mengapa tidak ada pengumuman untuk mendaftarkan klinik-klinik swata?

Dengan tidak menggunakan kesemua sumber perubatan yang sediaada sudah pastinya Menteri PERKESO ini tidak mengutamakan rakyat. Hanya menjalankan ujian di klinik tertentu akan memakan masa yang lebih lama daripada sepatutnya. Sekiranya sektor ini dianggap berisiko tinggi dan harus diuji, maka sektor ini harus diuji secepat mungkin.

Saya menggesa PERKESO untuk menjelaskan di mana baki wang yang dikatakan subsidi itu serta bersikap terbuka tentang harga kit ujian RTK-Antigen dan memberikan semua klinik swasta yang diperakui untuk melakukan saringan Covid-19 peluang yang sama untuk terlibat dalm usaha saringan demi semua kesejahteraan kita.

#KitaTeguhKitaMenang