Skip to content

Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020

PAC Parlimen memandang serius Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) yang mendapati 71% Rakyat Malaysia merasakan masalah rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar dan 39% Rakyat Malaysia merasakan yang masalah rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Laporan yang sama juga menunjukkan 30% Rakyat Malaysia merasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah dan 13% Rakyat Malaysia pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 12 bulan yang lepas. Kadar kepuasan terhadap SPRM pula berada pada paras 74%.

Pada masa yang sama, 25% Rakyat Malaysia yang ditinjau berpendapat bahawa Presiden / Perdana Menteri adalah korup, dan ini adalah lebih tinggi berbanding 9 negara Asia yang lain iaitu Taiwan (24%), Maldives (22%), Bangladesh (20%), Indonesia (20%), Myanmar (18%), China (15%), Vietnam (8%), Filipina (7%) dan Kemboja (7%).

Manakala 36% Rakyat Malaysia yang ditinjau berpendapat bahawa Ahli Parlimen mereka adalah korup, dan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan 7 negara Asia yang lain iaitu Bangladesh (18%), Taiwan (17%), Myanmar (14%), Filipina (12%), China (11%), Kemboja (6%) dan Vietnam (6%).

PAC Parlimen berpendapat angka ini menunjukkan ketidakyakinan Rakyat Malaysia terhadap integriti pentadbiran awam Negara serta anggota-anggotanya. Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha-usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkatkan. Keberkesanan Pelan Pencegah Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji memandangkan tempoh soal selidik laporan ini adalah dalam tempoh masa pelaksanaan NACP.

PAC Parlimen akan memanggil Transparency International untuk memberikan taklimat kepada PAC Parlimen berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan. PAC Parlimen juga akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memberikan laporan dan ulasan SPRM berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam Negara.