Skip to content

Diharapkan semua pihak lebih bersiap siaga, proaktif serta terus berjuang melawan COVID-19

Salam sejahtera.

Pagi ini, berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 secara sidang video yang mana penekanan adalah tertumpu kepada peranan Negeri untuk mengaktifkan jawatankuasa dan kumpulan kerja pada setiap peringkat termasuk meningkatkan penguatkuasaan di kawasan-kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspots’ dalam usaha membanteras pandemik ini.

Turut ditekankan adalah lapan (8) perkara yang bakal dijadikan sebagai garis panduan ke arah pembentukan jawatankuasa teknikal kerja menjurus kepada senario pencegahan secara ‘micromanage’ mengikut lokaliti atau lebih tertumpu kepada corak jangkitan setempat. Antara makluman serta keputusan yang dicapai pada mesyuarat berkenaan adalah:-

  1. Di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pasukan kerja di lapangan boleh meneruskan inisiatif mengenal pasti keperluan aset termasuk sumber-sumber swasta dan membincangkannya di peringkat jawatankuasa teknikal sebelum dibawa ke peringkat negeri serta Persekutuan bagi tindakan lanjut;
  2. Mesyuarat memperoleh perkongsian maklumat yang lebih terperinci daripada JKNPP menfokuskan kepada kes-kes jangkitan di lokaliti yang mana ia akan digunakan untuk perancangan lanjut peringkat jawatankuasa teknikal. Turut dibentangkan adalah SOP pengurusan kes positif COVID-19 di tempat kediaman membabitkan pesakit Kategori 1 dan Kategori 2 yang telah dimulakan pemantauan oleh Pejabat Kesihatan Daerah melalui Pusat Penilaian COVID-19 (Covid-19 Assessment Center, CAC);
  3. Saringan dalam kalangan pekerja asing di kilang-kilang dan tapak binaan kini bukan hanya tertakluk kepada Program Saringan Prihatin PERKESO sahaja, sebaliknya pihak majikan juga telah mengambil inisiatif sendiri bagi memperhebatkan lagi saringan massa secara lebih menyeluruh berasaskan pendekatan 3T iaitu testing (saringan) secara besar-besaran, tracing (mengenal pasti) dan treating (merawat);
  4. JKNPP memaklumkan bahawa vaksin adalah dijangka tiba di negeri ini pada penghujung Februari 2021 dan perancangan suntikan terutamanya pada aspek logistik sedang diteliti dengan lebih lanjut;
  5. Menyetujui saranan supaya mengumpulkan barisan sukarelawan COVID-19 di lapangan untuk memperkasakan gerak kerja di lokaliti termasuk penyelarasan gerak kerja, penguatkuasaan, penyampaian maklumat serta komunikasi secara menyeluruh.

Dengan ini, adalah diharapkan semua pihak dapat menjayakan gerak kerja yang bakal dilaksanakan dan adalah menjadi harapan saya agar semua pihak lebih bersiap siaga, proaktif serta terus berjuang melawan COVID-19. Kita masih belum menang, justeru setiap agensi dan individu mempunyai peranan serta tugas diamanahkan yang perlu dilaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

Penang Lawan COVID-19!