Setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi susulan jumlah kes positif Covid-19 terus meningkat, sekolah-sekolah di Malaysia dijangka tidak akan dibuka dalam masa yang terdekat, manakala pembelajaran atas talian (online learning) telah menjadi norma baharu pada masa kini.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya mengambil perhatian terhadap pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman yang kebanyakannya kekurangan infrastruktur teknologi, tidak mempunyai akses internet penuh ataupun langsung tidak mempunyai liputan internet.
Oleh kerana pelajar-pelejar yang terlibat tidak berpeluang untuk belajar di bawah norma baharu, prestasi akademik pelajar-pelajar agak merosot kerana mereka tidak berpeluang untuk meneruskan pembelajaran seperti biasa.
ConnectMe (https://connectme.my/connectmenow) merupakan sebuah penyedia perkhidmatan internet baharu melalui satelit dan telah melancarkan perkhidmatan jalur lebar satelit prabayar—— ConnectMeNow. Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan jalur lebar satelit prabayar pertama yang menggunakan teknologi satelit MEASAT dan bermisi untuk memastikan 100 peratus kawasan di Malaysia, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman di Malaysia mendapat sambungan internet.
Saya tidak berhasrat untuk mempromosikan ConnectMe, tetapi ingin menunjukkan bahawa harga bagi plan perkidmatan internet prabayar dan pascabayar yang dibekalkan oleh ConnectMe adalah lebih tinggi daripada harga plan oleh syarikat telekomunikasi tradisional.
ConnectMe juga tidak membekalkan plan internet tanpa limit. Sebagai contoh, harga plan prabayar yang paling rendah adalah RM10 bagi 1GB. Harga tersebut adalah agak mahal bagi rakyat biasa dan sememangnya tidak mencukupi untuk menjalani pembelajaran atas talian. Di samping itu, bagi plan pascabayar iaitu RM198 bagi 60GB, harga tersebut adalah terlalu tinggi bagi keluarga B40.
Masalah liputan internet tidak seharusnya dijadikan justifikasi untuk tidak mengikuti proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar di kasawan luar bandar dan pedalaman.
Oleh itu, pihak KPM seharusnya berbincang dengan penyedia perkhidmatan internet melalui satelit dan menyediakan peruntukan untuk menaja perkhidmatan internet kepada pelajar-pelajar yang tinggal di kasawan yang tidak diliputi internet broadband atau 4G, supaya membantu guru-guru untuk membekalkan kelas pembelajaran atas talian kepada mereka.
Sesungguhnya kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan besar bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di kawasan pedalaman, termasuk menambah jalur lebar fiber optik dan menara komunikasi.
Walau bagaimanapun, infrastruktur tersebut mengambil masa lama untuk siap bina, manakala akademik pelajar tidak boleh menunggu. Maka, sekiranya KPM dapat memperuntukan tajaan bagi membekalkan perkhidmatan internet satelit, pendekatan tersebut semestinya dapat menyelesaikan kekangan pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar di kawasan luar bandar.
Di Cameron Highlands, ramai ibu bapa dari komuniti Orang Asli sebelum ini menghantar anak-anak mereka ke SK atau SJKC di kawasan pekan. Setelah KPM menutup sekolah sementara dan mengarahkan pihak sekolah untuk menjalankan pembelajaran atas talian, pelajar-pelajar Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman tidak memiliki perkhidmatan internet untuk meneruskan pembelajaran. Sesetengah ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke kawasan jauh yang mempunyai liputan internet, manakala sesetengah pelajar berhenti belajar secara langsung disebabkan kekangan ini.
Pembelajaran atas talian tidak memerlukan kelajuan internet yang tinggi, tetapi guru dan pelajar hanya memerlukan liputan internet yang stabil.
Sekiranya Kementerian Pendidikan mampu membekalkan perkhidmatan internet melalui satelit secara percuma, pelajar-pelajar di kawasan luar bandar dapatlah meneruskan proses pembelajaran dan mengikuti silibus di sekolah agar tidak dipinggirkan disebabkan oleh faktor kekurangan infrastruktur teknologi.