Sejak 10 Ogos lalu, Malaysiakini sudah menyerahkan rakaman video dan gambar mengenai dakwaan penyelewengan Pas Khas kepada Jabatan Imigresen Kuala Lumpur. Jawapan jabatan itu sebelum ini ialah “kami masih siasat”. Namun, selepas pendedahan disiarkan semalam, jabatan yang sama pula mengumumkan bahawa Bahagian Integritinya akan menjalankan siasatan.
Sudah lebih dua bulan! Siasatan sebenarnya sudah bermula atau baru hendak bermula? Adakah laporan polis atau SPRM telah dibuat? Adakah Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri telah dimaklumkan? Mengapa semua ini masih tidak dijelaskan?
Paling menghairankan, Imigresen Kuala Lumpur mahu menyiasat dakwaan salah laku di pejabatnya sendiri, sedangkan dakwaan itu turut melibatkan kelulusan seorang pegawai kanan!
Siasatan dalaman sahaja tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia mesti mengambil alih siasatan pentadbiran, manakala dakwaan rasuah dan jenayah perlu dirujuk kepada SPRM dan polis.
Jangan tunggu pendedahan media baru hendak memberi penjelasan. Rakyat mahu tahu tindakan yang telah diambil sejak 10 Ogos, bukan sekadar mendengar satu lagi pengumuman siasatan!