Skip to content

Rebat Cukai RM1,000 Untuk Rakyat Malaysia Yang Membeli Penapis Udara Bagi Menghadapi Krisis Jerebu Akibat Indonesia

Kerajaan Persekutuan wajar meluluskan rebat cukai khas sebanyak RM1,000 bagi rakyat Malaysia yang membeli penapis udara untuk menghadapi krisis jerebu akibat Indonesia. Indonesia telah gagal menangani krisis jerebu ini dengan serius sehingga masih enggan mengisytiharkan situasi tersebut sebagai bencana nasional.

Semalam, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman, berkata bahawa bantuan asing, termasuk dari Malaysia, bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah secara meluas perlu menunggu sehingga Indonesia mengisytiharkan situasi tersebut sebagai bencana nasional. Dudung turut menegaskan bahawa kerajaan Indonesia masih yakin dengan keupayaannya untuk menguruskan krisis ini menggunakan sumbernya sendiri.

Tindakan Indonesia yang tidak mengisytiharkan situasi jerebu sebagai bencana nasional serta menolak tawaran bantuan antarabangsa sedangkan jelas bahawa mereka tidak mampu menanganinya merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Respons kerajaan Malaysia yang lemah di bawah pimpinan Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, amat mengecewakan. Mohamad Hasan enggan mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Jerebu Rentas Sempadan ASEAN yang mempunyai kakitangan tetap dari negara-negara ASEAN dan bersedia untuk menjalankan usaha pemadaman kebakaran dengan segera.

Susulan penolakan Indonesia, Mohamad Hasan juga enggan menyaman kerajaan Indonesia dan terus bergantung pada usaha diplomatik yang telah terbukti gagal. Sementara itu, rakyat Malaysia terus menderita akibat keadaan jerebu yang semakin buruk, dengan masalah kesihatan yang serius serta kanak-kanak terpaksa tidak hadir ke sekolah.

Sekiranya Malaysia enggan mengambil tindakan terhadap Indonesia demi membantu rakyat Malaysia yang menderita akibat jerebu, kerajaan Malaysia sekurang-kurangnya perlu menawarkan rebat cukai khas (bukan potongan cukai) sebanyak RM1,000 bagi membantu rakyat Malaysia membeli penapis udara untuk menghadapi krisis jerebu ini. Pada masa ini, banyak penapis udara telah habis dijual dan harganya juga meningkat akibat kekurangan bekalan.

Penapis udara boleh membantu mengurangkan kesan buruk jerebu terhadap kesihatan warga emas dan kanak-kanak kecil. Rebat RM1,000 bagi pembelian penapis udara ini akan membantu menampung sebahagian daripada kos tambahan luar jangka akibat jerebu yang kini membebankan rakyat Malaysia biasa.