Empat premis pusat membeli-belah/pasar raya yang diarahkan tutup ekoran tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebelum ini boleh dibuka semula dengan syarat proses sanitasi telah dilaksanakan sepenuhnya.
Keputusan tersebut adalah berdasarkan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebentar tadi yang mana adalah ditekankan bahawa HIDE merupakan sistem amaran awal dan bukannya membabitkan kejadian kluster di lokasi-lokasi berkenaan. Apabila sistem HIDE yang dibangunkan oleh Bank Negara tersebut menyenaraikan lokasi-lokasi berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko sebelum ianya diarahkan tutup.
Justeru, keputusan untuk membolehkan keempat-empat premis membeli-belah/pasar raya dibuka semula esok, 11 Mei 2021 adalah atas persetujuan hasil perbincangan saya bersama-sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang sejurus mesyuarat sebentar tadi.