Skip to content

Gandakan usaha untuk tangkap Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya berkaitan dengan skandal RM52 bilion 1MDB demi memberikan keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia memuji 9 hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan atas penghakiman mereka yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International. Pendakwa raya juga harus dipuji kerana mengendalikan kes yang sukar ini dengan profesional dan kepakaran.

Mahkamah Persekutuan secara ringkas membuat kesimpulan bahawa ini adalah kes salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang jelas dan mudah. Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun lagi. Najib masih perlu menghadapi empat lagi perbicaraan berkaitan 1MDB membabitkan RM6.64 bilion dan SRC International membabitkan RM27 juta.

Bagaimanapun, arkitek kewangan utama Najib iaitu Jho Low masih bebas. DAP menggesa Kerajaan Malaysia menggandakan usaha untuk menangkap Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang berkaitan dengan skandal RM52 bilion 1MDB demi memberi keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia yang telah dirompak oleh rompakan terbesar dalam sejarah. Ketika Najib menghadapi pengadilan di mahkamah, adalah nyata tidak adil dan satu pengkhianatan keadilan apabila Jho Low, keluarga dan Rakan subahatnya yang berkaitan dengan skandal itu dibiarkan bebas berkeliaran.

Tiada perbelanjaan atau usaha harus dikurangkan untuk membawa Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang terkait dengan merompak berpuluh bilion ringgit rakyat Malaysia dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan. Kerajaan perlu membuat laporan kemajuan mengenai status penangkapan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia ini.