Skip to content

German F&B Festival: Mengurus perbezaan pandangan secara berhemah

DAPSY Selangor akan terus mempertahankan hak demokratik dan hak asasi berbudaya masyarakat pelbagai kaum dan agama negara ini.

Kenyataan ini dibuat sebagai mengulas dan menyambut baik kelulusan permit oleh Majlis Perbandaran Klang ekoran penganjuran Festival Makanan dan Minuman German (German F&B Festival).

DAPSY Selangor melihat, tindakan Kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Klang tersebut sebagai salah satu usaha dalam mempertahankan hak dan meraikan kepelbagaian kebudayaan masyarakat pelbagai kaum negeri ini. Sudah tentu, toleransi sedemikian memainkan peranan yang besar dalam membentuk masyarakat yang hidup harmoni.

DAPSY Selangor juga berharap supaya PDRM bertindak profesional dalam memberi pertimbangan dan kelulusan kepada penganjuran festival tersebut selaras dengan demokrasi yang diamalkan negara ini.

DAPSY Selangor berpegang kepada kebebasan bersuara dan memberi pandangan. Sebarang kritikan atau cadangan yang dizahirkan secara demokratik dan harmoni wajar disambut baik. Tindakan Armada Selangor melancarkan petisyen “Hapus Pesta Arak di Selangor” merupakan pendirian parti itu dan bukanlah pendirian bersama Pakatan Harapan.

Umum mengetahui, festival ini bukanlah yang pertama kali dianjurkan di negara kita – Festival seumpama ini juga tidak pernah mendapat liputan sebegitu meluas seperti tahun-tahun kebelakangan ini. Justeru, segala perbezaan pandangan terhadap German F&B festival haruslah diurus dan ditangani secara berhemah tanpa emosi peribadi.

Ia amat penting supaya perkara tersebut tidak menjadi perangkap politik oleh UMNO-BN dan sekutu mereka.