Kenyataan Tan Sri Shahrir Abd Samad yang menzahirkan hasrat beliau untuk berdepan nama-nama besar dari pakatan pembangkang di Johor pada pilihan raya umum ke-14 membuktikan bahawa UMNO pada ketika ini berada dalam keadaan sangat panik dengan bahang kebangkitan tsunami politik Melayu.
Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/396973
Shahrir merupakan veteran UMNO, yang dikhabarkan oleh banyak pihak memilih untuk bersara dari menyertai pilihanraya umum yang akan datang.
Namun saya melihat, disebabkan panik dengan perkembangan positif sokongan orang Melayu untuk lakukan perubahan di Johor, Shahrir terpaksa membuat ‘u-turn’ dan mahu kekal bertarung dalam PRU ke-14.
Walau apa juga pendirian diambil Shahrir, ia tidak sedikit pun menggugah Pakatan Harapan. Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa UMNO lah yang sedang ‘goyang’ dengan kemaraan rakyat di negeri paling selatan ini.
Pada satu sisi lain, saya berpandangan Shahrir merupakan individu yang tidak kurang istimewa dan dilihat intim dengan Najib Razak, Perdana Menteri yang dihebohkan dengan jolokan kleptokrat!
Lihat sahaja bagaimana reaksi beliau tatkala dikaitkan dengan isu penerimaan wang RM1 juta sewaktu skandal 2.6b dan 1MDB mula hangat diperkatakan awal-awal dahulu.
Ini agak kontra dengan pendekatan Menteri Besar Khaled Nordin yang dilihat sering menjarakkan UMNO Johor pimpinannya dari imej rasuah pimpinan Najib diperingkat pusat.
Justeru, penyertaan Shahrir dalam PRU ke-14 yang akan datang pada saya akan memudahkan lagi rakyat di negeri ini untuk menilai antara dua pilihan;
Calon-calon PH yang berkerja keras untuk agenda perubahan demi rakyat, atau calon-calon UMNO Johor yang kononnya tidak mahu dikaitkan dengan kleptokrasi namun hakikatnya terus bersekongkol dengan mengangkat ‘kawan istimewa Najib’ untuk berpencak dalam PRU ke-14 nanti.