Semasa menjalankan kempen “Jom Daftar Vaksin”, kami telah menemui dan dipersoalkan beberapa perkara yang saya ingin kongsikan kepada pihak kerajaan dan berharap pihak kerajaan dapat mengambil berat untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin tersebut.
Antara perkara-perkara tersebut termasuklah segolongan besar warga emas, golongan rentan dan OKU yang masih lagi tertinggal di Fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Mereka menghadapi banyak kekurangan dan pergerakan yang terhad disebabkan keuzuran, terlantar sakit, dan ada terpaksa bergantung harap kepada anak-anak atau kawan, yang tidak tahu mendaftar, kurang pemahaman terhadap PICK, ada yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera dan sebagainya.
Masalah kedua adalah masalah aplikasi MySejahtera yang seolah-olah tidak dapat respons dan tidak dapat dikemaskini walaupun sudah dicuba beberapa kali. Ramai yang telah mendaftar pada bulan Mac dan April tetapi masih lagi belum mendapat tarikh untuk diberi vaksin. Ini telah menimbulkan kebimbangan khususnya bila ramai orang yang lebih muda telah diberi tarikh untuk vaksin.
Selain itu, ramai yang hadir ke PPV untuk mencuba nasib mendapatkan vaksin. Ada yang dapat dan ada yang telah ditolak. Ini menimbulkan lagi kekeliruan dan kemarahan rakyat terhadap sistem pendaftaran dan pemberian vaksin tersebut.
Mengikut laporan portal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), jumlah penduduk di Kedah yang mendaftar untuk divaksinasi telah mencecah 1 juta orang iaitu 1,060,577 pada 12 Julai 2021, tetapi hanya 319,785 orang sahaja diberi vaksin dos pertama. Kami difahamkan antara sebab utama kadar vaksinasi yang rendah ini adalah disebabkan kegagalan kerajaan memperuntukkan bekalan vaksin yang cukup.
Kami telah diberitahu terdapat 14 juta vaksin akan tiba pada Julai 2021. Maka, YAB Menteri Besar Kedah mesti memastikan bekalan vaksin ke Kedah adalah cukup menampung keperluan rakyat Kedah.
Selain daripada bekalan vaksin yang cukup, sistem pemberian mesti juga ditambah-baik untuk memastikan tidak berlaku kecelaruan, kekeliruan, kerisauan, kebimbangan dan kesusahan rakyat untuk bergerak ke sana ke sini.
Seterusnya, saya ingin mengesyorkan pendekatan pemberian vaksin yang lebih mesra rakyat demi mengatasi masalah-masalah yang telah tertimbul sebelum ini.
Antara syor saya ialah seperti berikut:
- Menggunakan kemudahan yang sedia ada seperti Klinik Kesihatan kawasan atau klinik swasta sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) komuniti.
- Menjalankan program “outreach” melalui PPV bergerak untuk pergi ke setiap kawasan perumahan atau kampung bagi memberi vaksinasi kepada penduduk setempat secara langsung tanpa menyusahkan mereka untuk bergerak ke sana ke sini ke PPV mega yang mungkin menjadi begitu jauh kepada mereka. Pergerakan secara “outreach ” boleh memudahkan warga tua dan uzur untuk mendapatkan vaksin khasnya dan semua orang amnya.
Kaedah perlaksanaan program tersebut boleh dilakukan dengan mobilisasikan struktur kemasyarakatan yang seperti wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis, Pegawai Daerah, Penghulu, Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) atau melalui kerjasama bersama Persatuan Penduduk sesuatu kawasan.
Dalam hal ini, Pasukan Pemberian Vaksin boleh memberi notis seminggu awal kepada pihak yang bekerjasama supaya diumumkan atau diedarkan borang untuk diisi oleh rakyat yang sudi menerima vaksin. Pada tarikh yang ditetapkan, semua rakyat di kawasan tersebut bolehlah membuat pendaftaran secara “walk-in ” dan seterusnya diberi vaksin atau ditetapkan tarikh terdekat untuk vaksin. Untuk yang uzur dan terlentang, Pasukan tersebut boleh juga aturkan untuk memberi vaksin di rumah mereka mengikut ketetapan SOP.
Saya percaya kaedah ini dapat menyelesaikan masalah yang terjadi dan dapat melancarkan proses vaksinasi kepada golongan berkaitan selain tidak perlu menyusahkan orang lain. Saya berharap agar golongan ini tetap diberi perhatian sewajarnya dan dilindungi sepenuhnya kerana mereka adalah golongan yang paling mudah menerima serangan virus Covid – 19 ini.