Skip to content

Sementara 5,000 warga Felda Ma’okil Pagoh menderita dikurung PKPD Pusat vaksin di kawasan PM tutup enam hari akibat kesuntukan vaksin

Mulai semalam 15hb Julai 2021 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Pagoh tutup akibat kesuntukan bekalan vaksin. Saya difahamkan PPV Pagoh dijangka tutup selama enam hari sehingga 21 Julai.

Apabila vaksinasi di peringkat kebangsaan melepasi tangga 400 ribu dos sehari secara berturut-turut, prestasi di Johor tidak meningkat dengan kadar yang serentak. Walaupun Johor mempunyai 3.8 juta penduduk ataupun 11% daripada populasi kebangsaan, suntikan dos vaksin yang diperuntukkan setakat ini hanya 5% – 6% sahaja daripada keseluruhan.

Jadual 1: Suntikan dos vaksin negeri Johor berbanding seluruh Malaysia dari 9 Julai 2021 hingga 15 Julai 2021

Tarikh Dos-1 Johor Dos-2 Johor Jumlah Dos Johor Jumlah Dos Seluruh Malaysia
15 Julai 23,425 7,000 30,425 460,158
14 Julai 15,653 5,834 21,487 434,828
13 Julai 16,926 6,100 23,026 424,541
12 Julai 16,467 5,413 21,880 421,479
11 Julai 13,526 5,705 19,231 291,217
10 Julai 19,654 6,396 26,050 324,745
9 Julai 11,420 4,075 15,495 337,478

Penutupan satu-satunya PPV di Pagoh, sebuah pekan besar dengan anggaran 80,000 orang penduduk dewasa, mencerminkan sikap parti pemerintah di Putrajaya yang tidak bertanggungjawab terhadap Johor. Betapa lalai dan tidak adilnya pengagihan vaksin sehingga Johor dilayan sedemikian. Kami bagai negeri kelas dua sejak permulaan Program Imunisasi Covid Kebangsaan pada Mac 2021.

Sebagai rekod, rakan seperjuangan saya di Pakatan Harapan pernah membangkitkan isu ketiadaan PPV di Pagoh pada awal bulan Jun lagi*. Semua hairan kerana Pagoh kawasan parlimen Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin. Lantas, orang kuat PM Datuk Sahruddin Jamal (ADUN Bukit Kepong, juga bekas Menteri Besar Johor) mengatakan bahawa isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan lalu PPV Pagoh pun buka pada 6 Jun 2021.

https://www.malaysiakini.com/news/577300

Kini, PPV Pagoh kena tutup enam hari kerana vaksin habis. Yang mendukacitakan lagi adalah sementara kerja vaksinasi tertunda, Pagoh dilanda jangkitan Covid arus demi arus yang semakin dahsyat. Kes aktif kini mencecah 500 (rujuak Gambar 1). Antara yang paling terkesan ialah Mukim Bukit Kepong dengan 226 kes aktif dan sebuah kawasan diisytiharkan masuk PKPD.

Lima ribu warga Felda Ma’okil kini menderita dikurung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari dari 14 Julai hingga 27 Julai. Dalam perjalanan balik ke Muar dari urusan di Segamat semalam, saya sempat singgah di pondok pengawal PKPD Felda Ma’okil dan menyumbangkan sedikit minimum ringan kepada anggota polis yang bertugas di bawah matahari panas terik. Ternampak khemah berwarna biru gelap sumbangan Tan Sri Mahiaddin Yassin terpacak di situ. Tetapi apakah usaha lain yang dibuat untuk menyelamatkan warga FELDA Ma’okil?

Kalaulah vaksin yang cukup sampai ke masyarakat FELDA Ma’okil sejak awal lagi, mungkin sekarang mereka tidak perlu dikurung dalam kegusaran. Saya doakan mereka hadapi cabaran dengan tabah.

Oleh itu, saya memanggil sekali lagi kepada Putrajaya supaya memandang berat masalah bekalan vaksin di Johor. Jangan terlepas pandang kawasan luar bandar yang menghadapi jurang vaksin kerana faktor pengangkutan dan akses yang lebih mencabar. Setelah berkali-kali ditegur pembangkand malah oleh Istana, tolonglah tunjukkan kesungguhan dalam membawa vaksin yang cukup kepada Johor.

Deliver now.


Gambar 1: Taburan Kes Covid-19 Daerah Muar

Sumber: Pejabat Kesihatan Daerah Muar, Johor https://web.facebook.com/Pejabat-Kesihatan-Daerah-Muar-269386277112757/photos/pcb.805122766872436/805122706872442/