Meskipun kami yakin Kerajaan Perpaduan tidak akan sama sekali tergugat, kenyataan Timbalan Presiden Bersatu merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional secara jelas menunjukkan belang mereka yang sanggup melakukan apa jua demi kuasa.
Jelas, terang lagi bersuluh, tersirat dalam kenyataan Ahmad Faizal terdapat agenda untuk menggugurkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, malah di negeri-negeri oleh pihak Perikatan Nasional selepas Pilihanraya di enam negeri kelak.
Kerajaan perpaduan ini telah berjaya melalui ujian keabsahan serta memenuhi tatatertib perundangan di tiga peringkat, iaitu keputusan rakyat melalui pilihanraya, perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Yang Dipertuan Agong, dan pengabsahan Parlimen melalui undi kepercayaan yang mendapat sokongan dua pertiga.
Dengan kuatkuasanya Akta Anti Lompat Parti, segala usaha peralihan kuasa termasuk apa jua selok belok perundangan, adalah satu pengkhianatan kepada rakyat, tamparan dan penghinaan kepasa institusi Parlimen dan penderhakaan kepada DYMM YDPA dan institusi Beraja secara umum.
Tidak cukup dengan kes Mahiaddin yang mengingkari titah cadangan DYMM YDPA untuk membentuk kerajaan perpaduan, kes Sanusi menghina DYMM Sultan Selangor, dan telatah penyalahgunaan suntingan ucapan DYMM Sultan Perak, kini mereka pula sedang mengusahakan projek penderhakaan besar-besaran terhadap institusi beraja dengan usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dititah perkenan oleh DYMM YDPA serta Majlis Raja-raja.
Bak kata pepatah orang lama; ada tangga, hendak juga panjat tiang. Tan Sri Mahiaddin ditawarkan menjadi sebahagian daripasa Kerajaan Perpaduan, tetapi titah telah ditolak bulat-bulat. Sekarang pula merancang untuk merampas kuasa.
Berkali-kali kebelakangan ini semenjak terbentuknya Kerajaan Perpaduan, Duli-duli Sultan dari Johor ke Perak telah menitah supaya kestabilan dan perpaduan diutamakan; masih lagi mereka berhempas pulas mengharubirukan politik negara dan mengancam kestabilan dan politik negara.
Mereka semakin berani. Mereka semakin mengancam. Jika mereka tidak berhasrat menderhaka kepada Institusi Diraja dan mensabotaj pemulihan dan pembangunan negara, adakah Perikatan Nasional sanggup memberi komitmen mereka tidak akan usahakan pertukaran kerajaan persekutuan apa jua keputusan PRN nanti?