Skip to content

Harapan supaya enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos akan membawa era politik baharu dengan kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan kawasan supaya Malaysia dapat bangkit menjadi sebuah negara hebat dunia

Saya berharap enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos akan membawa era politik baharu dengan kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan kawasan supaya Malaysia dapat bangkit menjadi sebuah negara hebat dunia.

Dalam 35 tahun dari 1965 hingga tahun 2000, saya telah dituduh sebagai anti-Cina, anti-golongan berpendidikan Cina, anti-golongan berpendidikan Inggeris, anti-India, anti-Hindu, anti-Buddha, anti-Kristian, agen CIA, agen KGB, dan agen Perkhidmatan Risikan Australia – yang semuanya merupakan penipuan dan fitnah.

Tetapi, dalam abad ke-21, selepas Ahmad Nor menjadi Ahli Parlimen DAP Melayu yang pertama, saya telah dituduh pula sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan komunis, kerana parti-parti politik Melayu berasa yang sokongan orang Melayu terhadap mereka digugat oleh DAP yang kini lebih diterima oleh orang-orang Melayu yang berfikiran terbuka dan menyokong matlamat DAP untuk membina sebuah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia yang merentasi garisan kaum dan agama.

Hari ini, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022, kita ada tiga orang Ahli Parlimen Melayu – Syahredzan bin Johan (Bangi), Young Syefure Othman (Bentong), dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

Momokan terhadap DAP, yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, akan diteruskan selagi mana ada parti Melayu yang bimbang dengan kehilangan sokongan orang Melayu terhadap mereka dan selagi mana semakin ramai orang Melayu mula berfikiran terbuka dan menyokong DAP dalam melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia sambil mengekalkan identiti etnik Melayu dan agama Islam mereka.

Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu terus memainkan retorik perkauman dan keagamaan seperti seakan-akan Malaysia sedang berhadapan dengan konfrontasi perkauman dan keagamaan.

Tidak ada mana-mana kaum atau agama dalam Malaysia yang diancam kepupusan. Terdapat lebih dari 70,000 masjid di Malaysia. Adakah sesiapa percaya yang Islam di Malaysia bakal lenyap?

Kita tidak boleh terikut-ikut retorik tidak bertanggungjawab oleh PAS dan Bersatu yang cuba menggambarkan Malaysia ini seolah-olah satu gunung berapi sentimen perkauman dan keagamaan yang akan meletus pada bila-bila masa, yang merupakan perkara yang bertentangan sama sekali dengan apa yang mahu dibawa Pakatan Harapan–Barisan Nasional – penerusan persefahaman dan kerjasama antara etnik, agama, budaya, dan tamadun supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.

Sekiranya enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini menunjukkan keputusan yang kukuh terhadap PH–BN di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan, dan juga keputusan yang lebih baik di Kelantan, Terengganu, dan Kedah (kerana kita mahu Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk belajar dari Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan untuk menjadi sebuah negara maju dan makmur dan bukannya melihat Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan yang menjadi mundur) dengan kerajaan yang kuat di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan, perkara ini akan menjadi nafas akhir untuk retorik perkauman dan keagamaan yang bersifat ekstremis dan melampau dalam politik Malaysia.

Inilah gaya politik baharu untuk Malaysia yang saya nantikan pasca 12 Ogos ini.

Kemudiannya, rakyat Malaysia boleh tumpukan usaha mereka untuk membolehkan Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.