DAP mendesak pihak Polis untuk menggunakan segala sumber bagi menyiasat tiga kematian dalam tahanan baru-baru ini dan bukan terhadap Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana menyuarakan pendapat dan menjalankan tugasnya sebagai Anggota Parlimen. Syed telah dipanggil oleh polis sekali lagi kerana hantaran Twitternya yang melibatkan bekas Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada 25 Mei. Dia baru-baru ini telah disiasat setelah dia mengulas kematian A. Ganapathy dalam tahanan polis.
Pihak Polis harus menyiasat kematian dalam tahanan terbaru Surendran Shanker di Penjara Simpang Rengam. DAP meluahkan rasa bimbang terhadap 3 kematian dalam tahanan dalam tempoh satu bulan yang bermula dengan A. Ganapathy, diikuti oleh Sivabalan Subramaniam di ibu pejabat polis Gombak.
Inkues perlu dilakukan untuk semua kematian dalam tahanan polis dan maklumat penuh serta simpati patut diberikan kepada keluarga mereka. Mereka yang bertanggungjawab harus dihukum dan diambil tindakan tegas untuk mencegah kematian dalam tahanan seperti ini berulang lagi.
Menyiasat Ahli Parlimen yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap kematian dalam tahanan polis ini tidak akan menambah keyakinan rakyat. Rakyat tidak dapat memahami apa tindakan jenayah yang telah dilakukan oleh Syed Saddiq melalui kenyataannya. Pihak Polis perlu memulangkan telefon Syed Saddiq yang telah mereka rampas.
Walaupun Parlimen telah digantung dan tidak dapat bersidang di bawah kuasa Darurat, Ahli Parlimen tetap menjalankan fungsi dan tugas mereka terhadap pengundi yang telah memilih mereka dan mempertahankan hak-hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang Ahli Parlimen telah bersumpah untuk lindungi.