Malaysia akan berdepan sekali lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat atau kini disebut-sebut sebagai ‘total lockdown’, memandangkan kes kini telah memuncak ke satu tahap yang amat membimbangkan. Namun, sampai bilakah Malaysia terpaksa mengulangi kaedah ‘lockdown’ setiap kali kes meningkat ke paras membimbangkan? Hakikatnya, kita terpaksa berdepan dengan sekatan pergerakan ini kerana kegagalan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bergerak terlalu perlahan.
Kerajaan sebelum ini mensasarkan 80% daripada jumlah keseluruhan 30.4 juta penduduk Malaysia akan menerima vaksin menjelang akhir tahun ini. Jika mengikut sasaran Fasa 2 PICK, jumlah disasarkan adalah 30.9% penduduk menjelang Ogos 2021. Walau bagaimanapun, melalui statistik perkembangan PICK, setakat 28 Mei 2021, hanya 5.9% sahaja yang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin. Terang lagi nyata masih teramat jauh dari sasaran.
Pada 27 Mei 2021, saya telah mengeluarkan kenyataan menegaskan perlunya strategi pelbagai serampang dalam mempermudah dan mempercepatkan pemberian vaksin, agar dapat mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini. Saya telah mencadangkan agar vaksin AstraZeneca dimasukkan kembali ke dalam senarai vaksin PICK, mempermudahkan pilihan vaksin melalui MySejahtera, dan pelaksanaan kaedah jumpa terus (walk in) untuk pengambilan vaksin. Kerajaan telah pun mengumumkan untuk melaksanakan dua perkara pertama yang dicadangkan, namun itu hanya menyelesaikan sebahagian masalah.
Mempercepatkan pemberian vaksin kini merupakan keutamaan yang mendesak. Kaedah jumpa terus (walk in) harus dilaksanakan bagi membantu mempercepatkan penerimaan vaksin. Lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak laporan kelemahan pendaftaran dan sistem janji temu melalui MySejahtera. Walaupun dilaporkan bekalan vaksin semakin bertambah, masih ramai penerima yang dalam senarai keutamaan belum mendapat janji temu mereka.
Kaedah jumpa terus untuk vaksin juga bukanlah sesuatu yang terlalu mustahil dilaksanakan memandangkan terdapat beberapa insiden dilaporkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk Klinik Kesihatan menawarkan slot vaksin kepada masyarakat setempat melalui maklumat mulut ke mulut.
Telah banyak kajian menunjukkan bagi menggalakkan sesuatu perkara maka hendaklah mempermudahkan proses dan mengurangkan halangan. Proses yang haru-biru dan menyukarkan golongan tertentu berkemungkinan menjadi punca kadar pendaftaran untuk vaksin masih di tahap 47.7%. Halangan dan kesusahan untuk mendapatkan janji temu dan pergi ke PPV berkemungkinan menjadi punca 10,000 orang gagal menghadiri janji temu vaksin mereka seperti dilaporkan di Kelantan baru-baru ini.
Pelbagaikan Kaedah Jumpa Terus Untuk Menerima Vaksin
Sementara amalan jumpa terus untuk mendapatkan vaksin tanpa perlu janji temu telah diamalkan di beberapa negara lain, bandar besar seperti Shanghai telah memulakan langkah agresif dengan membuka kaunter vaksin bergerak. Yang mana kaunter vaksin dibuka di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti di tengah-tengah bandaraya atau taman awam.
Kepantasan adalah kunci utama untuk menangani penyebaran virus manakala aplikasi dan laman sesawang yang kononnya canggih namun hanya mengusutkan keadaan bukannya jawapannya. Malaysia perlukan lebih banyak PPV serta pelbagai bentuk PPV. Bukannya semata-mata PPV yang gah dan besar namun hanya terletak di kawasan bandar. Kaedah jumpa terus yang dicadangkan ini bolehlah dilaksanakan melalui Klinik Kesihatan, Klinik Swasta, rumah ke rumah atau kaunter bergerak. Yang penting, rakyat Malaysia, sama ada di bandar, atau di hujung kampung dapat menerima vaksin mereka melalui khidmat pengamal perubatan secepat mungkin.
Jalan keluar kepada bencana Covid-19 adalah dengan mencapai imuniti kelompok. Untuk mencapainya memerlukan sejumlah besar penduduk Malaysia menerima vaksin. Kerajaan perlu segera mempermudahkan proses menerima vaksin melalui kaedah jumpa terus sekiranya betul-betul berhasrat untuk mencapai sasaran 80% penerima vaksin menjelang akhir tahun ini. Jika Kerajaan masih berharap kepada Perintah Kawalan Pergerakan seperti ‘total lockdown’ untuk memerangi pandemik Covid-19 ini, terpaksalah rakyat Malaysia terus merana berdepan dengan kemungkinan Total Lockdown 1.0, 2.0, 3.0 dan mungkin 100.0.