Skip to content

Kegagalan pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca dan kelemahan pelaksanaan PICK, kerajaan perlu timbang strategi pelbagai serampang baharu

Situasi hura-hara dalam pendaftaran vaksin AstraZeneca secara sukarela semalam meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap pelaksanaan program vaksinasi oleh Kerajaan. Di sebalik apa yang terjadi semalam, timbul beberapa persoalan mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sudah masuk bulan keempat dan Fasa 2.

Saya melihat ada tiga perkara yang perlu dilaksanakan secara seiring bagi menambah baik keberkesanan strategi PICK.

SERAMPANG PERTAMA: Masukkan Kembali AstraZeneca Dalam Senarai PICK

Vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada orang ramai secara sukarela selepas ianya dikeluarkan daripada senarai vaksin bagi PICK. Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata ketetapan itu dibuat susulan mendapati terdapat kebimbangan dan kegusaran orang awam terhadap kesan sampingan vaksin tersebut. Pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mendapati sehingga 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui PICK, membatalkan pendaftaran masing-masing selepas mengetahui AstraZeneca adalah antara vaksin ditawarkan. Keputusan mengeluarkan AstraZeneca daripada senarai PICK tanpa bersandarkan kepada fakta dan sains bukan sahaja telah memperlahankan Fasa 2 PICK malah terbukti satu keputusan yang salah.

Melalui 2 fasa pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca, hampir 1.5 juta pendaftaran direkodkan. Jika dibandingkan dengan data CITF berkenaan 8,000 orang membatalkan pendaftaran sementara hampir 1.5 juta pula mendaftar untuk AstaZeneca, di manakah kebimbangan dan kegusaran yang dikatakan itu? Kerajaan perlu sedar bahawa rakyat begitu terdesak untuk mendapatkan vaksin dengan segera apabila melihat situasi jangkitan COVID-19 yang semakin meruncing. Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan CITF patut menilai semula pembatalan tersebut dan menimbangkan dengan serius dan segera untuk memasukkan kembali vaksin AstraZeneca ke dalam PICK bagi menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan berisiko.

SERAMPANG KEDUA: Berikan Pilihan ‘Opt in’ atau ‘Opt out’ Melalui MySejahtera

Walaupun rakyat terdesak untuk mendapatkan vaksin, sudah tentu kita tidak menolak bahawa setiap rakyat mempunyai tahap keselesaan dan pertimbangan tersendiri terhadap sesuatu vaksin. Ada yang tidak percaya kenapa jenama vaksin tertentu, ada yang perlu menimbangkan perkara seperti status kesihatan sendiri – komorbiditi atau kehamilan, dan ada juga yang mempertimbangkan sama ada vaksin yang diambil akan membolehkan mereka menunaikan Haji atau melawat sesuatu negara pada masa hadapan.

Pendaftaran melalui MySejahtera setakat ini tidak mengambil kira faktor-faktor sebegini. Kerajaan parut mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem pilihan menolak atau ‘opt out’ dalam proses pemberian vaksin. Seperti sistem pilihan masuk atau ‘opt in’ yang dilakukan pada vaksin AstraZeneca, rakyat patut dibenarkan memilih untuk menolak sebarang vaksin yang dijadualkan kepada mereka, sehingga mereka dapat vaksin yang mereka mahukan.

Sistem ‘opt out’ ini juga dapat memudahkan kerajaan untuk melaksanakan sistem ‘opt in’ kepada senarai penerima seterusnya, tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang kelam kabut seperti apa yang terjadi dengan pendaftaran sukarela AstraZeneca. Dengan peruntukan RM70 juta bagi tujuan membangun sistem Intergrasi Data dan Sistem Temu Janji, sistem ‘opt out’ dan sistem ‘opt in’ ini sepatutnya boleh dibangunkan dengan baik.

SERAMPANG KETIGA: Kaedah Jumpa Terus (Walk In) Untuk Vaksin

Selain pendaftaran sukarela AstraZeneca yang menjadi strategi pendekatan berganda dalam pelaksanaan PICK, Kerajaan juga perlu melihat kepada strategi lain bagi mempercepatkan pemberian vaksin dan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini. Strategi lain juga diperlukan kerana terdapat kelemahan dilaporkan melalui pendaftaran dan sistem temu janji melalui MySejahtera. Walaupun dilaporkan bekalan vaksin semakin bertambah, masih ramai penerima yang dalam senarai keutamaan belum mendapat temu janji mereka. Ada beberapa insiden dilaporkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk Klinik Kesihatan yang menawarkan slot vaksin kepada masyarakat setempat melalui maklumat mulut ke mulut.

Melihat perlaksanaan vaksinasi di negara lain seperti Indonesia, Kerajaan sepatutnya menambah strategi bagi membenarkan vaksinasi secara terus atau ‘walk in’ di PPV terutamanya di kawasan luar bandar dan tumpuan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas. Ini bukan sahaja dapat mengatasi kelemahan temu janji melalui MySejahtera malah mengurangkan jurang teknologi yang dihadapi oleh warga emas dan warga luar bandar, mengurangkan pembaziran slot vaksin yang tidak dipenuhi oleh penerima yang gagal hadir dan seterusnya mempercepatkan proses imunisasi di seluruh negara.

Kesimpulan

Kegagalan dan huru hara yang ditimbulkan oleh pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca perlu memberi kesedaran kepada Kerajaan bahawa tiada satu solusi atau sistem yang sesuai untuk semua, dan boleh menyelesaikan semua perkara. Sudah tiba masa Kerajaan menilai semula perlaksanaan PICK sedia ada dan mempertimbangkan segala strategi berganda yang dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.