Skip to content

Hadi menyerang DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam kerana dia dipenuhi kebencian melihat Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia

Saya telah berikan Presiden PAS peluang selama 48 jam untuk memberikan bukti untuk serangannya yang dibuatnya beberapa hari lepas – bahawa orang Melayu sedang dimain-mainkan dan ditipu kerana kealpaan dan kejahilan mereka sendiri dan sedang menjadi mangsa politik negara, dibelenggu oleh masalah rasuah, kemerosotan moral, dan perpecahan dalam kalangan mereka sendiri, dan bahawa orang Melayu yang bekerjasama dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu, yang didakwanya sebagai “perompak terbesar” yang memberi dan menerima rasuah, telah menipu orang Melayu dan orang Islam selama lebih dari setengah abad.

Saya tidak jangka dia akan berikan bukti untuk serangan keji ini, kerana tidak ada cara dia boleh membuktikan pertuduhan yang liar dan tidak masuk akal yang mengatakan bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam ini perompak yang memberi dan menerima rasuah dan telah menipu orang Melayu dan orang Islam.

Tetapi, saya tidak jangka yang dia akan melancarkan serangan baharu – bahawa DAP telah menyasarkan orang Melayu yang “jahil mengenai kepercayaan mereka” untuk mengumpulkan kuasa politik dan bahawa DAP telah “mengumpan” sesetengah tokoh Melayu untuk menjadi “boneka”.

Setakat ini, Hadi berhutang enam pembuktian tuduhan liar yang dia masih gagal untuk buktikan kepada saya.

Hadi mungkin akan mencipta sejarah dalam dunia sebagai seorang pemimpin Muslim yang paling banyak membuat tuduhan yang tidak dapat dibuktikan – walaupun perkara ini bukanlah satu benda yang boleh dibanggakan oleh negara kita.

Enam tuduhan liar yang tidak dapat dibuktikan Hadi setakat ini adalah:

  • Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia. Kini, enam bulan sudah berlalu sejak dia membuat tuduhan tidak masuk akal ini dan walaupun dicabar saya berkali-kali, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti terhadap tuduhan liar ini. Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
  • Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP yang membantu PAS semasa gabungan Barisan Nasional (BN) cuba untuk menumbangkan parti tersebut dari mentadbir Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977. Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perkara yang berbeza di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan lain-lain perkara jahat. Adakah DAP mempromosikan Islamofobia ketika membantu PAS pada tahun 1977?
  • Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah dalang di sebalik mahupun terlibat dengan episod pada tahun 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Adakah Hadi akan meminta maaf untuk tuduhan liar dan kejinya terhadap DAP yang cuba mengatakan bahawa DAP adalah “dalang” di sebalik usaha ini?
  • Sejak tahun 2018, Hadi tidak berjaya untuk memberikan satu pun contoh dari 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD di mana syiar Islam tergugat atau satu pun contoh dari 36 negara dengan sistem beraja di mana sistem monarki mereka tergugar akibat ratifikasi ICERD.
  • Tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan bahawa orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah “perompak” yang memberi dan menerima rasuah yang juga telah menipu orang Melayu dan orang Islam dari hak-hak mereka selama lebih dari setengah abad.
  • Tuduhan liar dan tidak masuk akal terbarunya yang mengatakan bahawa DAP telah menyasarkan orang Melayu yang “jahil mengenai kepercayaan mereka” untuk mengumpulkan kuasa politik dan bahawa kononnya DAP “mengumpan” sesetengah tokoh Melayu untuk menjadi “boneka”.

Mengapakah Hadi menyimpan kebencian yang sangat keji sebegini terhadap DAP?

Sebenarnya, perkara ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan DAP – Hadi dirasuk dengan kebenciannya terhadap hakikat di mana Anwar Ibrahim telah menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Semasa Langkah Kajang pada tahun 2014, ketika mana Anwar dan Wan Azizah Wan Ismail digagalkan dari rancangan mereka untuk menjadi Menteri Besar Selangor, Hadi telah berjumpa dengan saya untuk mendapatkan sokongan DAP terhadap bantahan PAS untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum.

Hadi mencadangkan supaya Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Anwar sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat.

Saya tidak bersetuju dan saya telah mengingatkan Hadi kepada keputusan Pakatan Rakyat untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Sekiranya pada masa itu saya telah bersetuju dengan cadangan Hadi untuk menggantikan Anwar dengan Razaleigh, atau lebih baik lagi, mencadangkan supaya Hadi menjadi calon Perdana Menteri, pastinya hari ini saya akan diangkat oleh Hadi sebagai pejuang Islam dan bukannya seorang yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam!

Ya, saya menentang Hadi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dan perkembangan yang terjadi telah membuktikan bahawa pilihan saya ini tepat.

Hadi sekarang menjadi ancaman terbesar terhadap dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun dalam sejarah Malaysia, kerana dia bukannya sahaja telah membuat jenayah fitnah terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi dia juga telah memfitnah orang Melayu dan orang Islam.

Rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, mahukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya, tetapi Hadi hanya mahukan polarisasi dan perbalahan.

Nasib baik, polarisasi di Malaysia belum mencapai tahap melampau seperti yang dilihat di negara-negara lain.

Menurun Laporan Barometer Kepercayaan Global Edelman 2023, Malaysia tidak berada dalam kategori terburuk enam negara yang “amat terpolarisasi”, atau dalam kategori kedua dengan sembilan negara yang “berada dalam bahaya polarisasi teruk” mahupun kategori ketiga sebagai salah satu dari enam negara yang “amat berpecah belah”.

Sebaliknya, Malaysia berada dalam kategori keempat yang terbaik – “kurang terpolarisasi” – dengan hanya sedikit perpecahan, bersama-sama dengan negara seperti Singapura, Indonesia, Arab Saudi, UAE, China, dan India.

Kita tidak boleh membiarkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab seperti Hadi untuk menjunamkan Malaysia ke dalam tiga lagi kategori yang buruk ini di mana polarisasi menjadi sangat teruk bersama dengan perpecahan yang tersemat dalam hati masyarakat. Kerana inilah laporan polis oleh dua orang Ahli Parlimen, Lim Lip Eng dan Syerleena Abdul Rashid terhadap Hadi untuk kenyataan tidak bertanggungjawabnya yang dirangka untuk menggugat keamanan di antara kaum dan toleransi keagamaan di Malaysia perlu diambil berat oleh pihak polis.

Hadi telah menandatangani Proklamasi Melayu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Adakah perkara ini bermakna yang Mahathir bersetuju dengan Hadi yang orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah “perompak” yang memberi dan menerima rasuah dan telah menipu hak-hak orang Melayu dan orang Islam selama lebih dari setengah abad, serta bahawa DAP telah menyasarkan orang Melayu yang “jahil mengenai kepercayaan mereka” untuk mengumpul kuasa politik dan bahawa DAP “mengumpan” sesetengah tokoh Melayu untuk menjadi “boneka” mereka?

Hadi tidak patut membiarkan kebenciannya terhadap Anwar Ibrahim untuk membawanya ke arah berpolitik secara tidak bertanggungjawab.

Adakah dia bersedia untuk membawa usul di sidang Parlimen yang akan berlangsung dalam masa seminggu lagi untuk menjadi Malaysia negara contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?