Skip to content

Halang MCA daripada menang supaya UMNO, MCA dan PAS berhenti daripada memecahbelahkan rakyat dengan politik kebencian, perkauman, ekstremisme agama untuk mengaburi mata tentang sokongan MCA terhadap GST, skandal 1MDB dan skandal-skandal melibatkan bayaran balik GST dan cukai berjumlah RM35.25 bilion

DAP dan Pakatan Harapan menggesa pengundi Balakong untuk menghalang MCA daripada memenangi pilihanraya kecil pada 8 September ini dengan
memastikan kemenangan calon kita Wong Seqi sekaligus dapat menyekat UMNO, MCA dan PAS daripada memecahbelahkan rakyat dengan politik kebencian, perkauman dan eksterimisme agama mereka untuk mengaburi mata rakyat tentang sokongan MCA terhadap GST, skandal 1MDB, dan skandal-skandal melibatkan bayaran balik GST dan cukai berjumlah RM35.25 bilion.

Lebih-lebih lagi, MCA tidak layak mendapat sokongan rakyat kerana pada satu pihak, mereka mengambil pendirian chauvinis yang hanya berjuang untuk satu kaum dengan menuduh saya mengkhianati masyarakat Cina walaupun saya menegaskan bahawa sebagai Menteri Kewangan, saya utamakan diri saya sebagai seorang Malaysia dahulu. Pada masa yang sama, MCA sanggup mengkhianati rakyat dengan bukan sahaja menyokong UMNO yang bersifat perkauman malah bekerjasama dengan parti ekstremis seperti PAS yang menanam sikap menghasut terhadap bukan Islam dan bukan Melayu.

Kerajaan Persekutuan yang baharu mengambil pendekatan yang berlainan daripada ekstremisme agama dan perkauman dengan menitikberatkan perpaduan antara kaum dan agama sebagai sebahagian daripada satu Bangsa Malaysia. Kali ini, DAP bakal bertanding di bawah bendera Pakatan Harapan untuk pertama kalinya kerana Pakatan Harapan mewakili konsep Bangsa Malaysia, sebuah negara yang dimiliki oleh semua di mana kita menyelesaikan masalah kita bersama supaya kita sama-sama dapat menikmati manfaat dalam satu keluarga yang besar. Tujuan Pakatan Harapan adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia manakala MCA, UMNO dan PAS cuma mahu memecahbelahkan rakyat dan memusnahkan perpaduan.

Pakatan Harapan sekarang ini bersungguh-sungguh mahu membawa mereka yang terlibat dengan skandal-skandal kewangan ini ke muka pengadilan kerana tindakan mereka telah menyebabkan hutang Kerajaan Persekutuan mencecah lebih RM1 trillion dan sekaligus menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat. Demi memulihkan keadaan ini dan menurunkan kos sara hidup yang membebani rakyat, Pakatan Harapan telah menggantikan GST dengan SST.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa amat yakin bahawa SST hanya akan mengundang “bencana besar” untuk Pakatan Harapan, kerana kenaikan harga barang akan berlaku dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan SST. Adakah UMNO dan parti komponennya, MCA, mahu menghidupkan semula GST dari ‘kuburnya’?

Untuk tahun 2019, GST dikutip sebanyak RM44 bilion berbanding hanya RM21 bilion untuk SST, bermakna terdapat kekurangan cukai sebanyak RM23 bilion yang dikembalikan sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia. Impak kenaikan harga dijangka kurang daripada separuh daripada harga GST. Tetapi UMNO dan MCA menggambarkan SST sebagai suatu cukai yang lebih teruk daripada GST. Ini tidak benar dan merupakan fitnah sama sekali.

Marilah kita bersatu di bawah payung PH sebagai satu bangsa, satu parti dan satu negara yang berjuang untuk kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan dengan menolak parti chauvinis yang hanya berjuang untuk satu bangsa tetapi pada masa yang sama rela bekerjasama dengan parti yang rasis, ekstremis dan bersikap menghasut terhadap bukan Melayu dan bukan Islam. Marilah kita menyokong perjuangan PH untuk Malaysia yang lebih bersih, lebih bebas, lebih adil, lebih demokratik. Marilah kita pastikan Malaysia boleh menjadi lebih dihormati disebabkan kedaulatan undang-undangnya dengan menolak sebarang parti politik yang telah membawa Malaysia ke arah kerakusan kuasa, ketidakadilan dan korupsi sehingga nama Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi global.

Marilah kita menyokong bukan sahaja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malah penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelantikan saya sebagai Menteri Kewangan. Kita juga haruslah menyokong pelantikan lima pemimpin DAP lain seperti Menteri, Gobind Singh Deo, Anthony Loke, Teresa Kok, M. Kula dan Yeo Bee Yin, Sdr Tan Kok Wai sebagai Duta Khas Malaysia ke China dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.