Skip to content

Hanya 36.0 peratus murid boleh belajar sendiri menggunakan bahan pembelajaran di rumah dalam tempoh PKP. Adakah PdPR sendiri sesuai dan berkesan?

Berdasarkan pelan KPM, kapasiti murid di sekolah dihadkan pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan kecuali beberapa kumpulan murid seperti murid di sekolah asrama sepenuhnya dan murid di sekolah kurang murid.

Justeru, sistem penggiliran murid hadir ke sekolah mengikut minggu akan dilaksanakan. Dalam satu-satu minggu, hanya satu kumpulan saja yang akan hadir ke sekolah. Manakala kumpulan yang satu lagi akan melaksanakan PdPR secara sendiri di rumah.

Saya sokong segala usaha KPM untuk membuka sekolah. Tetapi, adakah PdPR sendiri kaedah yang berkesan?

Dapatan kajian KPM menunjukkan 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah.

Daripada kumpulan tersebut, 48.9 peratus murid menyatakan sebab tertekan adalah kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan. Sebanyak 53.4 peratus murid pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.

Apabila PdPR ditukar menjadi PdPR sendiri, interaksi antara guru dan murid, interaksi antara murid and rakan-rakan mereka serta bimbingan dalam sesi pembelajaran semua akan dikurangkan lagi. Dari tahap terhad, ke tahap amat terhad, kalau bukan sifar.

Pada masa yang sama, dapatan kajian KPM juga menunjukkan bahawa hanya 57.5 peratus murid berjaya menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan oleh guru dalam masa yang ditetapkan semasa PdPR.

Jadi soalan saya, apabila PdPR ditukar kepada PdPR sendiri, bukan ke peratusan murid yang berjaya menyiapkan tugasan atau latihan akan menjadi semakin kurang?

Yang paling penting, dapatan kajian tersebut juga menunjukkan hanya 36.0 peratus murid boleh belajar sendiri menggunakan bahan pembelajaran di rumah dalam tempoh PKP.

Amat jelas bahawa kajian KPM sendiri telah menunjukkan bahawa PdPR sendiri adalah kurang berkesan. Jadi kenapa PdPR sendiri masih dicadangkan? Menteri Kanan Pendidikan tidak membaca dapatan kajian Kementerian beliau?