Skip to content

Hapuskan tol Lebuhraya Persisiran Pantai Barat, warga Teluk Intan usah bayar tol

Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan semua tol termasuklah Lebuhraya Persisiran Pantai Barat yang mempunyai Susur Keluar Teluk Intan sekiranya berjaya mara ke Putrajaya.

Sesungguhnya usaha untuk menghapuskan semua tol adalah salah satu iltizam Pakatan Harapan sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya. Kerajaan Pakatan Harapan akan mendedahkan segala kontrak perjanjian lebuh raya yang disembunyikan UMNO BN selama ini dan mengkaji cara terbaik untuk menghapuskan tol demi meringankan beban rakyat.

Saya juga mendesak Mah Siew Keong (Mah) yang merupakan bakal calon Parlimen Teluk Intan bagi BN untuk menyatakan pendirian sama ada beliau bersetuju dengan pemansuhan tol yang pastinya memanfaatkan rakyat khususnya warga Teluk Intan. Sekiranya Mah bersetuju, adakah Mah berani mendesak bos sebenarnya yakni Najib UMNO untuk menghapuskan tol ataupun Mah akan terus diam-diam besi berkarat seperti lumrahnya?

Sebenarnya pembinaan lebuh raya yang menjadikan Teluk Intan lebih terhubung dengan Kuala Lumpur adalah memanfaatkan rakyat Teluk Intan, namun pelaksanaan kutipan tol kemudiannya tentu akan menambahkan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi lantaran kini rakyat telah terhimpit oleh kenaikan harga barang akibat kewujudan GST.

Tinggalkan kampung demi mencari rezeki, balik kampung demi menyelamatkan negara

Pakatan Harapan hanya akan berjaya mara ke Putrajaya dengan memenangi kerusi parlimen seperti Teluk Intan yang kalah tipis dengan 238 undi majoriti.

Oleh itu, saya menyeru semua orang Teluk Intan khususnya yang bekerja di luar negeri untuk balik mengundi pada hari pengundian iaitu 9 Mei 2018 untuk menyelamatkan negara ini yang semakin terjerumus di bawah pemerintahan perompak RM2.6 bilion.