Menteri Dalam Negeri Dato’ Sri Hamzah Zainudin, dua hari lepas, telah mengumumkan bahawa pihak imigresen dan polis akan menangkap dan menahan pekerja migran tanpa dokumen selama tempoh dua minggu, iaitu sepanjang perlaksanaan ‘total lockdown’.
Namun, Menteri Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab ke atas penyelarasan program vaksinasi nasional, dalam sebuah sidang media pada bulan April dengan Menteri Kesehatan Dato’ Sri Dr Adham Baba, telah memberikan jaminan tegas bahawa pendatang tanpa dokumen yang tampil untuk mendapatkan vaksin tidak akan ditahan. Jaminan ini diulangi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah.
Khairy juga mengatakan pada waktu itu bahawa beliau telah mengadakan perbincangan terperinci dengan Hamzah dan bahawa KDN akan mengemukakan sebuah dokumen kepada Kabinet berkaitan dasar untuk pelarian dan pendatang. Beliau juga mengatakan bahawa kerajaan akan bekerjasama dengan kedutaan asing, organisasi antarabangsa (mungkin termasuk UNHCR, IFRC dan ICRC) dan NGO-NGO tempatan untuk menangani pendatang tanpa dokumen.
Pengumuman Hamzah merupakan satu kejutan besar dan memalukan kepada kerajaan. Komuniti antarabangsa akan memerhati cara kerajaan PN bekerja pada masa ini yang umpama tangan kanan bertentangan dengan tangan kiri.
Kami bersetuju dengan kedudukan yang diambil oleh Menteri Khairy dalam isu ini yang bukan sahaja melindungi pekerja migran tetapi juga warganegara Malaysia pada masa yang sama. Terdapat kira-kira 3 juta pekerja migran tanpa dokumen di Malaysia (dan mungkin lebih banyak lagi) dengan kira-kira dua hingga tiga juta pekerja yang mempunyai dokumentasikan. Selagi sebilangan besar daripada mereka tidak divaksinasi, adalah sukar untuk mencapai kekebalan kawanan (herd immunity) yang berkesan yang diperlukan untuk melindungi nyawa rakyat Malaysia.
Adalah sangat mengejutkan apabila Menteri Hamzah selaku menteri kanan gagal memahami dasar asas berkenaan dengan melindungi rakyat Malaysia daripada Covid 19 melalui vaksinasi.
Menteri Hamzah dengan bangganya telah menyediakan pusat penahanan tambahan untuk pendatang tanpa izin yang ditangkap. Ini adalah kebanggaan yang agak jahil dan bebal kerana kelompok yang tercetus di pusat-pusat tersebut akan membahayakan rakyat Malaysia yang bekerja di tempat tersebut dan juga atas sebab pergerakan keluar dan masuk dari penjara, yang akan menjangkiti keluarga mereka dan orang awam di luar juga. Hamzah tidak dapat memahami sesuatu yang mudah – bahawa dengan menangkap beberapa ribu migran dalam dua minggu ini, ia akan menyebabkan sebahagian besar daripada 3 juta pendatang tanpa dokumen untuk tidak tampil untuk mendapatkan vaksinasi secara sukarela. Mereka sama sekali tidak akan mempercayai pihak berkuasa berkenaan keselamatan mereka.
Ini adalah masalah kritikal yang perlu diselesaikan dengan segera. Kami meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin untuk menyelesaikan percanggahan dalam dasar yang dibuat oleh Hamzah. Perdana Menteri harus mengeluarkan kenyataan mengenai apa sebenarnya dasar kerajaan mengenai vaksinasi untuk pekerja migran tanpa dokumen. Beliau juga harus memastikan akan ada perlindungan bagi setiap migran dan pelarian yang sedia tampil untuk divaksinasi.
Sivarasa Rasiah
AHLI PARLIMEN SUNGAI BULOH
Maria Chin Abdullah
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA
Ustaz Hasanuddin Mohamad Yunus
AHLI PARLIMEN HULU LANGAT
Kasthuriraani Patto
AHLI PARLIMEN BATU KAWAN
Charles Anthony s/o R. Santiago
AHLI PARLIMEN KLANG
Dr. Maszlee bin Malik
AHLI PARLIMEN SIMPANG RENGAM
Amiruddin bin Hamzah
AHLI PARLIMEN KUBANG PASU
Hassan bin Abdul Karim
AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG
Elizabeth Wong
ADUN BUKIT LANJAN
Hee Loy Sian
AHLI PARLIMEN KAJANG
Lee Khai Loon
ADUN MACHANG BUBOK
Natrah Ismail
AHLI PARLIMEN SEKIJANG
Mujahid Yusof Rawa
AHLI PARLIMEN PARIT BUNTAR
Chan Ming Kai
AHLI PARLIMEN ALOR SETAR
Ginie Lim
ADUN MACHAP JAYA
Sim Tze Tzin
AHLI PARLIMEN BAYAN BARU