Skip to content

HENTIKAN POLITIK TOKSIK: PEMUDA PAS SELANGOR SEPATUTNYA BANTU LANGKAWI, BUKAN JADI PENGHALANG PELANCONGAN DI BUKIT BINTANG

Saya terpanggil untuk membidas kenyataan dangkal Pemuda PAS Selangor yang masih terus-terusan menyerang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, berhubung penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang.

Sikap “hasad dengki” dan obsesi Pemuda PAS Selangor terhadap festival ini sangat menghairankan. Biar fakta berbicara: festival ini berjaya menarik 180,000 pengunjung dan menjana limpahan ekonomi sebanyak RM200 juta kepada peniaga tempatan. Ini adalah satu kejayaan besar untuk sektor pelancongan negara yang nampaknya gagal dihadam oleh logik politik PAS.

Daripada terus menjadi “polis moral” yang tidak produktif di Kuala Lumpur, saya mencabar Pemuda PAS Selangor untuk melakukan perkara berikut:

1. Belajar Daripada Kepimpinan Melalui Teladan

Kehadiran YB Tiong King Sing yang turun padang mempromosi dan menyertai festival tersebut adalah bukti kepimpinan dinamik. Di mana pemimpin PAS ketika Langkawi memerlukan promosi agresif? Mengapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi, lebih berminat meluangkan masa berlakon filem “The Keris” daripada fokus memulihkan imej Langkawi yang semakin hambar di bawah pentadbiran beliau?

2. Terjemahkan Anugerah Kepada Angka, Bukan Retorik

Pulau Langkawi telah diiktiraf di tempat ke-2 dalam “Top Islands: Reader’s Choice Award 2025” oleh Condé Nast Traveler, jauh mengatasi Bali dan Phuket. Namun, amat memalukan apabila kepimpinan PAS Kedah gagal menterjemah anugerah ini kepada angka ketibaan pelancong yang membanggakan. Jika PAS mendakwa Langkawi adalah destinasi pelancongan patuh syariah, di mana kempen kreatif mereka?

3. Guna Tenaga Untuk Membina, Bukan Meruntuh

Saya mencadangkan Pemuda PAS Selangor menggembleng tenaga mereka untuk menganjurkan program pelancongan di negeri-negeri di bawah tadbir urus PAS (SG4). Jika mereka begitu yakin dengan ideologi mereka, buktikan bahawa mereka mampu menarik 180,000 pelancong dan menjana RM200 juta dalam satu hujung minggu di Langkawi atau Kelantan tanpa perlu menyerang usaha pihak lain di Kuala Lumpur.

Mungkin Pemuda PAS Selangor boleh menyarankan pemimpin dan ulama mereka turun ke pantai Langkawi, berpakaian tradisi Kedah, dan menunjukkan kepada dunia bahawa Langkawi adalah destinasi mesra keluarga yang hidup—bukannya pulau yang suram di bawah pentadbiran yang tiada visi.

Hentikanlah politik sempit yang hanya tahu membantah tetapi gagal membina. Rakyat mahukan ekonomi yang rancak dan poket yang berisi, bukannya retorik kosong yang membunuh industri pelancongan negara.