Skip to content

Skandal kapal tempur pesisir (LCS) kini memasuki satu lagi episod memalukan

Skandal kapal tempur pesisir (LCS) kini memasuki satu lagi episod memalukan. Projek frigat kelas Maharaja Lela yang bermula sejak 2011 dengan kos kontrak sekitar RM9 bilion telah berdepan kelewatan serius, perubahan reka bentuk, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai salah urus dan pembaziran, serta peningkatan kos melebihi RM11 bilion. Kini, kita berdepan pula dengan realiti bahawa kapal perang bernilai berbilion ringgit yang sepatutnya menjadi tunjang pertahanan negara hanya mampu belayar tanpa gigi dan taring.

Amat mengejutkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hanya dimaklumkan mengenai sekatan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) pada pertengahan April lalu, sedangkan penghantarannya dijadualkan bulan ini.

Bagaimana isu sebesar ini, melibatkan sistem persenjataan kritikal, boleh tidak dikesan lebih awal? Apakah sistem pemantauan dan perisikan pertahanan negara “tidur” semasa rundingan serta pelaksanaan kontrak dijalankan?

Jawapan kementerian bahawa mereka sedang menggunakan saluran diplomatik dan meneliti langkah seterusnya juga tidak cukup meyakinkan. Rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan kini perlu menanggung kos tambahan bagi pengubahsuaian kapal atau mendapatkan sistem gantian sekiranya pelaksanaan kontrak NSM benar-benar gagal diteruskan akibat perubahan dasar eksport Norway.

Setelah bertahun-tahun tertangguh dan menelan kos berbilion ringgit, rakyat kini melihat projek LCS bukan lagi sekadar projek bermasalah, tetapi berisiko menjadi simbol kegagalan pengurusan pertahanan negara.

Saya mendesak Menteri Pertahanan tampil memberikan penjelasan terperinci di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta menamakan pihak yang bertanggungjawab atas keciciran ini.

Ini bukan sekadar isu teknikal. Ia melibatkan kredibiliti sistem pertahanan negara dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kementerian Pertahanan mengurus aset strategik negara.