Skip to content

IPO kurang daripada 10% untuk enam tahun berturut-turut, PDRM adalah kunci utama bagi mangsa keganasan rumah tangga untuk dapatkan IPO

Sebanyak 26,505 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dalam tempoh enam tahun, tetapi hanya 2,041 Perintah Perlindungan Interim (IPO) yang dikeluarkan oleh mahkamah kepada mangsa keganasan rumah tangga. Jurang perbezaan yang besar ini mengakibatkan kebanyakan mangsa tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya, dan sikap anggota polis dalam siasatan kes keganasan rumah tangga adalah kunci utama bagi mangsa untuk mendapatkan IPO.

Berdasarkan jawapan lisan yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bilangan IPO yang dikeluarkan oleh mahkamah adalah kurang daripada 10% kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada polis bagi tahun 2011 hingga 2016. Pada tahun 2013, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 4,123 kes keganasan rumah tangga. Daripada jumlah itu, hanya 218 kes (iaitu 5.29% daripada kes yang dilaporkan) di mana mangsa mendapatkan IPO . Kadar ini adalah rekod terendah dalam tempoh enam tahun. Walaupun setiap kes keganasan rumah tangga adalah berbeza antara satu sama lain dan bukan semua mangsa ingin mendapatkan IPO, tetapi kadar yang sebegitu rendah amat mengejutkan.

Sikap polis dalam mengendalikan kes keganasan rumah tangga adalah kunci utama bagi mangsa untuk dapatkan perlindungan tersebut. Akibat sikap kurang peduli pihak polis, ramai mangsa tidak dapat mengakses perintah tersebut. Peranan polis adalah untuk menjelaskan kepada mangsa hak untuk dapatkan perlindungan keganasan rumah tangga, termasuk IPO. Namun begitu, pihak polis sering kali tidak berbuat demikian dan hal ini mengakibatkan mangsa tidak ketahui hak dan kepentingan mereka.

IPO bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mangsa dengan menghalang keganasan pasangan, anak atau mana-mana anggota keluarga yang lain terhadapnya dalam tempoh siasatan polis. IPO berhenti kuatkuasa apabila polis selesai menjalankan siasatannya. Sekiranya pelaku terus mendera atau mengganggu mangsa semasa tempoh siasatan, mangsa boleh maklumkan situasinya kepada Pegawai Siasatan (IO) supaya pihak polis mengambil tindakan selanjutnya.

Berdasarkan statistik PDRM, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan meningkat setiap tahun, tetapi bilangan perintah yang dikeluarkan tidak selari dengan jumlah kes yang dilaporkan.

Saya berharap PDRM akan menyiasat setiap kes keganasan rumah tangga dengan menyeluruh kerana kebanyakan mangsa enggan melaporkan kes tersebut akibat stigma sosial. Oleh itu, sekiranya pihak polis lebih proaktif membuat siasatan dan merujuk mangsa kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mangsa yang ingin mendapatkan IPO, secara tidak langsung lebih ramai mangsa akan didorong untuk tampil diri dan membuat laporan polis.

Tahun Jumlah Kes Keganasan Rumah Tangga Bil. IPO Dikeluarkan oleh Mahkamah IPO Dikeluarkan oleh Mahkamah
2011 3277 325 9.92%
2012 3488 301 8.63%
2013 4123 218 5.29%
2014 4807 385 8.01%
2015 5014 306 6.10%
2016 5796 506 8.73%

Sumber: Woman Aid’s Organisation(WAO) http://www.wao.org.my/Statistics+on+Violence+Against+Women+2000-2016_99_6_1.htm & jawapan lisan parlimen