Islam dan agama-agama lain tidak terancam di Malaysia, dan sesiapa yang mencipta kisah-kisah sebegini hanya cuba untuk mempolarisasi hubungan antara kaum dan agama dan merendah-rendahkan usaha perpaduan negara, dan tindakan tegas perlulah diambil terhadap mereka ini.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), bersama dengan University of Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini telah menerbitkan satu laporan yang bertajuk “Pemantauan Media Sosial semasa Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia” yang telah mendapati PAS dan presidennya, Abdul Hadi Awang, sebagai salah satu pihak yang paling kerap menggunakan naratif yang berasaskan etnik di media sosial dalam masa-masa yang membawa kepada tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Adakah ini sebabnya PAS dan Hadi senyap sepi mengenai hasil analisa yang mendapati Hadi dan PAS merupakan pengguna terbesar retorik perkauman dan keagamaan dalam pilihan raya umum yang lepas?
Adakah kita akan menyaksikan penyalahgunaan isu-isu perkauman dan keagamaan dalam pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos yang akan datang, yang pastinya akan menjejaskan perpaduan dalam negara?
Saya gesa kerajaan untuk terus memantau ucapan kebencian dan bahasa-bahasa yang membawa kepada perpecahan di platform media sosial yang telah menjejaskan perpaduan negara, dan supaya kerajaan bertindak dengan cadangan-cadangan laporan mengenai media sosial dalam pilihan raya umum ke-15 ini.
Antara cadangan mereka adalah penubuhan sebuah Jawatankuasa Bebas dengan pelbagai pemegang taruh untuk menangani penyebaran naratif yang berbahaya dan ucapan kebencian, dan jawatankuasa ini hendaklah diberikan tanggungjawab untuk:
- Meneliti punca utama dan penggerak naratif berbahaya dan ucapan kebencian, terutamanya dalam konteks kaum dan agama;
- Untuk merujuk pertubuhan masyarakat madani untuk memahami lumrah ucapan kebencian dan kemungkinan untuk ucapan-ucapan ini menyebabkan bahaya dan bagaimana untuk memberikan tindak balas yang berpatutan terhadap ucapan kebencian; dan
- Membangunkan tindakan dan cadangan yang kukuh, yang melibatkan semua pihak dan platform, yang selari dengan piawaian antarabangsa, terutamanya Rancangan Tindakan Rabat.
Kajian ini juga mencadangkan supaya kerajaan melancarkan program kecelikan media dan digital yang lebih menyeluruh untuk mendidik para pelajar dan orang awam mengenai bahaya ucapan kebencian dan untuk mempromosikan kesaksamaan, prinsip tidak mendiskriminasi, kepelbagaian, dan inklusiviti.
Tetapi kerajaan juga perlu memastikan yang sebarang tindakan yang dibuat untuk melawan ucapan kebencian tidak sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara.
Saya menyeru supaya kerajaan memberikan satu Kenyataan Menteri sebelum sidang Parlimen berakhir esok mengenai respons kerajaan terhadap laporan “Pemantauan Media Sosial dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di Malaysia”.