Skip to content

Kenyataan terbaru PAS telah menghina perjuangan Palestin dan mencetus ketegangan kaum di Malaysia.

Amat malang sekali buat perjuangan pembebasan Palestin apabila PAS cuba memperalatkan kesengsaraan rakyat Palestin demi kepentingan politik sempit parti tersebut. Baru-baru ini PAS telah mengeluarkan kenyataan di media sosial rasmi menyamakan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan penindasan rejim Zionis di Palestin.

Tulisan tersebut bukan saja telah menghina perjuangan pembebasan Palestin malah cuba mencetus ketegangan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Jelas, PAS berniat jahat dalam hal ini.

Penggunaan data yang meragukan untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang sangat mengecewakan ketika kerajaan negeri Pulau Pinang terus berusaha untuk memastikan pembangunan negeri yang lebih adil agar tiada golongan yang tercicir.

Dalam aspek pembangunan masyarakat Melayu, kerajaan negeri telah melaksanakan dasar menegakkan syiar Islam, membasmi kemiskinan, meningkatkan penyertaan anak muda dalam pendidikan STEM, mewujudkan pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi, menyediakan perumahan mampu milik serta dasar yang menyokong hak perumahan di kampung[1]kampung peneroka seperti Kampung Tok Subuh.

Kerajaan negeri juga mempelopori konsep pembangunan tanah wakaf dengan penubuhan Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. pada tahun 2018. Badan ini bertujuan untuk memajukan tanah wakaf dalam negeri dan kini mempunyai pelbagai projek pembangunan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar atau Gross Development Value (GDV) hampir RM1.5 billion.

Demi kepentingan politik sempit mereka, PAS seakan-akan tidak mengendahkan titah berkali-kali oleh DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong agar tidak memainkan polemik agama dan sentimen perkauman.

Persoalannya, adakah orang Melayu, Cina, India di Malaysia bermusuhan antara satu sama lain sebagaimana permusuhan Zionis dan Palestin? Ternyata jauh sekali, tidak.

Justeru, saya menyeru rakyat Pulau Pinang serta rakyat Malaysia pelbagai kaum yang cintakan keharmonian untuk menolak fitnah dan pemikiran ekstrim sebegini.

Fokus pada masa kini harus menjurus kepada perpaduan seluruh rakyat Malaysia untuk membangunkan semula negeri dan negara kita selepas tempoh pandemik agar semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama.