Skip to content

Ismail Sabri patut memanggil pilihan raya umum hanya selepas semua negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing dengan menggubal undang-undang anti lompat parti untuk memastikan keseragaman, konsistensi dan kepastian

Perdana Menteri Ismail Sabri sepatutnya memanggil pilihan raya umum hanya selepas semua negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing dengan menggubal undang-undang anti-lompat bagi memastikan keseragaman, konsistensi dan kepastian. Tidak sepatutnya ada undang-undang yang berbeza antara setiap perlembagaan negeri dan Persekutuan untuk membersihkan kerangka politik negara daripada oportunis yang tidak jujur yang sanggup menjual prinsip mereka dan mengkhianati mandat rakyat dalam mengejar kekayaan dan jawatan politik.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah menyatakan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan mungkin diwartakan bulan depan selepas Dewan Negara bersidang pada 9 Ogos untuk meluluskan pindaan perlembagaan ini. Bagaimanapun, beliau masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes duluan Nordin Salleh yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai keperlembagaan undang-undang anti-lompat Pulau Pinang yang dipinda pada 2012.

Sedikit masa juga diperlukan untuk perundingan diadakan oleh kerajaan Persekutuan dengan setiap kerajaan negeri dan tiada tempoh masa yang pasti telah ditetapkan. Semalam semasa ucapan saya di Parlimen, saya telah berbincang dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang telah bersetuju bahawa semua 3 negeri di bawah PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan negeri masing-masing dengan memasukkan undang-undang anti lompat parti.

Ismail juga harus memberikan komitmen yang sama dan mengarahkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN/PN untuk turut meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi menggubal undang-undang anti lompat parti. Atas sebab ini, adalah menjadi kewajipan bagi Ismail untuk melaksanakan undang-undang anti lompat parti ke seluruh negara dengan menangguhkan pilihan raya umum sehingga undang-undang bersejarah ini meresap ke dalam setiap badan perundangan dan menyemai semangat reformasi baharu kepada wakil rakyat akan datang.

Semalam perjuangan panjang parti-parti pembangkang untuk membersihkan politik Malaysia telah mencapai satu kemajuan yang besar dengan menghumban katak politik ke tong sampah. Marilah kita memenuhi misi bersejarah ini dengan mengisi undang-undang anti lompat parti ini bukan sahaja dengan kuasa undang-undang tetapi disemai dengan kekuatan moral baru integriti politik dan akauntabiliti untuk memulihkan kepercayaan rakyat bahawa undi mereka mempunyai nilai yang sangat berkuasa sehingga tidak boleh dijual beli.