Pihak kami kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelik kenyataan kami tentang Bazar JB. Demi kepentingan politik sempit, mereka cuba membangkitkan sentimen perkauman dan mengalihkan perhatian daripada isu asal yang kami bangkitkan iaitu masalah urus tadbir Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Isu utama ialah kebersihan, sejajar dengan titah Tuanku Sultan
Kami telah menyeru agar MBJB menyelesaikan masalah kebersihan, keselamatan serta tempat letak kereta di sekeliling Pusat Bandaraya Johor Bahru, khasnya kawasan tarikan pelancong. Ini adalah sejajar dengan titah DYMM Tuanku Sultan semasa perasmian sidang Dewan Negeri Johor pada bulan Mei tahun ini.
Sokong cadangan Persatuan Peniaga Bazar JB
Selain itu, kami mengalu-alukan cadangan En Mohammad Salezan Salleh selaku Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar JB. Beliau telah mencadangkan agar bumbung dibina di kawasan tersebut.
Ini merupakan suatu cadangan yang amat baik kerana bukan sahaja memberi kemudahan kepada para peniaga, tetapi juga kepada pelawat yang berkunjung ke kawasan tersebut.
Jadikan kawasan Bazar JB sebagai “zon bebas kenderaan” pada sebelah malam
Justeru, kami menyeru MBJB supaya mengkaji semula perancangan Bazar JB, khasnya dari segi kebersihan dan keselamatan bagi memastikan keselesaan para pekedai, peniaga dan pelawat.
MBJB patut mempertimbangkan agar kawasan Bazar JB dijadikan zon bebas kenderaan pada sebelah malam. Dengan itu, lot-lot peniaga Bazar JB boleh disusun semula mengikut susunan “pulau” di tengah-tengah jalan, lalu membolehkan para pelawat berjalan di kedua-dua belah jalan raya tersebut.
Dengan cara begini, ruang kaki lima dan pintu masuk kedai-kedai sepanjang jalan juga tidak dihalang. Langkah ini boleh dikatakan “menang-menang” (“win-win”) untuk semua pihak, termasuk untuk keselesaan para pelawat ke Bazar tersebut.
Ruang-ruang awam perlu bebas daripada halangan bukan sahaja untuk pejalan kaki, tetapi juga sebagai laluan kecemasan jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. Ini merupakan aspek keselamatan yang amat penting.
Tempat letak kereta perlu dirancang semula
Satu lagi perkara penting ialah, MBJB harus merancang semula tempat letak kereta di sekitar kawasan tersebut. Kalau masalah tempat letak kereta tidak selesai, maka yang akan rugi ialah perniagaan-perniagaan setempat termasuk peniaga Bazar kerana pelawat akan menghadapi kesukaran apabila berkunjung ke situ.
MBJB tidak boleh berpeluk tubuh biarkan Bazar JB dianaktirikan
Pihak MBJB tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan keadaan di Bazar JB dianaktirikan. Ahli-ahli Majlis perlu bertindak secara proaktif untuk membela hak dan nasib peniaga di situ, tak kiralah pekedai mahupun peniaga Bazar.
Di satu pihak lagi, kami ingin memberi amaran kepada mereka yang mengambil kesempatan untuk membangkitkan sentimen perkauman agar jangan bermain dengan api. Jangan cuba mengalihkan perhatian terhadap kepincangan urus tadbir MBJB dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.
Ini isu perbandaran bukan isu perkauman. Masalah ini yang akan memberi kesan kepada para peniaga dan pelawat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kami selaku wakil rakyat mempunyai tanggungjawab membangkitkan isu rakyat termasuk hal ehwal dan kebajikan peniaga kecil Bazar, para pekedai dan para pelawat yang terpaksa berdepan dengan keadaan mencari nafkah yang tidak tersusun, kotor, tidak selamat dan tidak selesa.