Skip to content

UMNO Pulau Pinang perlu bertanggungjawab terhadap siri serangan ke atas premis DAP

Tindakan UMNO Pulau Pinang yang membakar bendera parti DAP di bawah pimpinan Setiausaha UMNO Negeri Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir kini telah membuktikan bahawa UMNO merupakan dalang di sebalik siri tindakan serangan ke atas premis-premis DAP, termasuknya Ibu Pejabat DAP Negeri Pulau Pinang dan pusat-pusat khidmat bagi wakil-wakil rakyat DAP.

UMNO Pulau Pinang tidak menggunakan cara atau taktik yang bertamadun, termasuk tidak menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang yang sedia wujud selama ini walaupun Majlis Bandaraya Pulau Pinang merupakan pihak yang cuba menegakkan kedaulatan undang-undang. Kenapa DAP pula yang dipersalahkan walaupun MBPP yang melaksanakan tanggungjawabnya mengikut undang-undang yang sedia ada?

Jelasnya, ini merupakan hasil pemikiran UMNO yang cetek dan DAP selalunya dan akan terus dipersalahkan tidak kira itu keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan. Tindakan yang berlandaskan undang-undang tidak harus dikaitkan dengan unsur politik dan tiadanya tindakan yang berbalas dendam harus diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak berdosa sama sekali.

Dengan mengambil kira pendekatan yang agresif lagi keterlaluan yang diambil oleh UMNO Pulau Pinang hari ini dengan melibatkan bendera parti DAP dibakar oleh konco-konco UMNO Pulau Pinang yang cara dan taktiknya agak sama dengan siri serangan terhadap premis-premis DAP kebelakangan ini, Pemuda DAP Pulau Pinang ingin menuntut supaya UMNO Pulau Pinang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siri serangan tersebut.

Pemuda DAP Pulau Pinang akan membuat repot polis jam 11.30 pagi besok di Balai Polis Jalan Patani dan kami akan menuntut supaya siasatan polis dijalankan segera terhadap UMNO Pulau Pinang untuk menentukan dalang yang sebenar di sebalik siri serangan terhadap premis-premis DAP di Pulau Pinang serta menuntut supaya mereka dihadapkan ke mahkamah dengan secepat mungkin.