Skip to content

Isu vaksin di negeri Melaka bukan rakyat tidak sudi menerima suntikan vaksin

Kenyataan ini ditulis dengan rujukan kepada laporan media Utusan Malaysia bertajuk “Suntik vaksin berpeluang dapat rumah di Genting Highland dan Melaka.

Secara dasarnya, saya menyokong inisiatif kerajaan negeri Melaka dalam menggalakkan rakyat menerima suntikan vaksin kerana vaksin membolehkan negara kita kembali ke landasan ekonomi dan kehidupan sosial yang biasa secepat mungkin.

Walaubagaimanapun, dalam konteks negeri Melaka, inisiatif pemberian rumah sebagai insentif menerima vaksin seolah-olahnya tidak menjawab isu-isu yang sedang dihadapi oleh rakyat Melaka dalam soal Vaksin.

Berdasarkan maklumat rasmi dalam website JKJAV, kadar pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat Melaka (populasi dewasa, setakat 11.59pm, 28 Julai 2021) ialah 94.1% atau 637,097 orang penerima. Ia juga merupakan negeri yang ke-6 tertinggi dari segi kadar pendaftaran (KL, Putrajaya, Selangor dan N. Sembilan ialah 100%).

Dari segi penerimaan vaksin, Melaka ada di tempat ke-9 (daripada 16) dan seramai 305,111 orang telah menerima dos 1 (mewakili 32.7% populasi dewasa, setakat 11.59pm, 28 Julai 2021).

Dengan kadar pendaftaran vaksin sebanyak 94.1%, ‘menggalakkan rakyat menerima vaksin’ bukan isu pokok dalam soal vaksin.

32.7% populasi dewasa dalam negeri Melaka adalah masih jauh daripada sasaran populasi untuk mencapai imuniti kelompok. Ramai lagi rakyat yang sudah berdaftar masih belum menerima temu janji suntikan vaksin.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah memastikan bekalan vaksin tidak terganggu dan semua rakyat menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

Apakah gunanya kerajaan negeri memberi rumah dan ‘menggalakkan rakyat menerima vaksin’ jikalau isunya bukan rakyat tidak mahu menerima vaksin?

Rujukan:

Laporan media Utusan Malaysia

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/suntik-vaksin-berpeluang-dapat-rumah/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=suntik-vaksin-berpeluang-dapat-rumah

Kadar pendaftaran vaksin dan suntikan dos 1 di negeri Melaka

https://www.vaksincovid.gov.my/statistik/