Skip to content

Mangsa ke-16 kilang Persiaran Agas terkorban – Kenapa kerajaan seolah-olah menyalahkan pekerja tanpa mengambil tindakan tegas terhadap majikan?

Seorang lagi warga pekerja STMicroelectronics (STM) di Tanjung Agas, Daerah Tangkak meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid19. Menurut laporan Harian Metro 30 Julai 2021 [1], Allahyarham Hani Sha’ri, 43, berasal dari Bukit Gambir merupakan mangsa ke-16 yang terkorban di kalangan pekerja STM kerana Covid19 sejak bulan Jun 2021. Kami merakamkan takziah kepada isteri dan keluarga beliau atas berita yang cukup menyedihkan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, YB R.Vidyananthan dalam temuramah oleh BERNAMA [2] hari berkata,

“punca utama penularan secara meluas itu adalah disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pekerja mahupun komuniti berikutan peratusan tinggi kes-kes melibatkan komuniti.”

Adakah beliau bermaksud punca penularan virus adalah kesalahan pekerja? Biarpun benar ada ketidakpatuhan SOP di kalangan pekerja, sudah tentu pihak majikan dan pengurusan atasan memikul tanggungjawab dalam memastikan semua SOP sentiasa dipatuhi dengan ketat. Andaikan majikan telah ditemui GAGAL dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, pihak kerajaanlah yang wajib memantau dan mengambil tindakan tegas memperbetulkan keadaan. Masakan sampai pekerja-pekerja yang dituduh bersalah?

Di bawah pemerintahan Kerajaan PN, ribuan rakyat telah dikenakan denda beribu-ribu ringgit, malah ada juga peniaga kecil yang didakwa ke mahkamah atas ketidakpatuhan SOP sama ada secara sengaja atau tidak. Selepas ratusan kes positif dan 16 nyawa terkorban, apakah siasatan telah dijalankan terhadap pihak syarikat antarabangsa yang dilihat lalai sehingga Kluster Persiaran Agas semakin berkembang? Apakah hukuman wang denda atau tindakan mahkamah akan diambil?

Izinkan kami memperingatkan semua bahawa antara mangsa yang terkorban, termasuk Allahyarham Hani Sha’ri yang meninggalkan isteri dan dua anak kecil semalam buat selama-lamanya, terdapat ramai yang mengundi di kawasan Pagoh dan Bukit Gambir iaitu kawasan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin. Tatkala beliau dan pengikutnya berhempas pulas merebut kuasa menyelamatkan kedudukan di Putrajaya, rakyat marhaen yang diwakilinya tumbang mati satu demi satu di kampung halaman kerana Covid.

Rakyat setempat semakin marah akan pemimpin kerajaan yang gagal melindungi nyawa mereka. Kami terpanggil untuk bersuara dan meminta KKM dan MITI menunjukkan ketegasan dalam membendung Kluster Persiaran Agas dengan tegas.

Jangan kita biarkan lagi nyawa demi nyawa terkorban dan tragedi menimpa keluarga demi keluarga.

Akhir sekali, seperti yang dinyatakan semalam, rakyat setempat menghargai peluang pekerjaan serta sumbangan yang dibawa oleh pelaburan STM sejak tahun 1974. Namun demikian, ketika krisis pandemik melanda masyarakat setempat, pihak STM dilihat tidak menunaikan tanggungjawab mereka dengan bersungguh-sungguh demi membendung penularan virus antara pekerja. Jelas, STM mempunyai kewajipan baik dari segi undang-undang mahupun dari segi tanggungjawab korporat untuk melindungi nyawa setiap seorang 4,057 pekerja yang menyumbang kepada keuntungan syarikat di mana angkanya mencecah RM46,000,000,000 (46 bilion bersamaan US 11.1 bilion).