Skip to content

Jamal Yunos dan UMNO Selangor wajib memohon ampun secara terbuka kerana menimbulkan kemurkaan DYMM Tuanku Sultan Selangor

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj hari ini telah menitahkan bahawa baginda tidak berkenaan dengan gimik politik Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Jamal Yunos yang menggunakan van-van jenazah di depan bangunan SUK Negeri Selangor pada minggu lalu.

Cara Jamal Yunos memanipulasikan masjid-masjid masjid untuk meminjam van-van jenazah bagi tujuan gimik politik yang melampau telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid. Oleh yang demikian, Jamal patut meminta ampun daripada Tuanku Sultan kerana sikapnya itu juga menghina Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam negeri Selangor.

Pengerusi UMNO Negeri Selangor Noh Omar yang mempertahankan gimik melampau tersebut juga harus meminta ampun daripada Tuanku Sultan. Amat memalukan bagi seorang Menteri Persekutuan mempertahankan sikap terlampau seorang ahli UMNO tanpa memikirkan implikasinya.

Oleh yang demikian, sebagai warga Selangor yang beragama Islam, Jamal dan Noh Omar harus meminta ampun daripada Tuanku Sultan dan juga meminta maaf kepada warga Islam di negeri Selangor secara terbuka.

Kemurkaan Sultan ini juga pastinya mewakili keseluruhan rakyat negeri ini yang jengkel dengan politik murahan Jamal Yunos dan UMNO Selangor. Negeri Selangor memerlukan pembangkang yang berkesan dan memahami peranannya sebagai kuasa semak dan imbang. Jelas, UMNO bukan sahaja tidak relevan sebagai kerajaan di negeri Selangor malah juga tidak
berkeupayaan sebagai pembangkang yang berkesan.

Patik sebagai rakyat Selangor juga mahu merakamkan sembah takzim dan terima kasih atas keprihatinan Tuanku untuk menegur perbuatan yang hanya merugikan rakyat negeri ini yang dilakukan oleh Jamal Yunos dan kuncu-kuncunya. Semoga Jamal dan Noh Omar akan mentaati titah perintah Tuanku ini demi kesejahteraan masyarakat di Selangor. Jika Jamal gagal membuktikan dirinya mampu menjadi pembangkang yang berkesan di Selangor, setidaknya Jamal harus berusaha untuk menjadi rakyat yang menghormati Sultannya.