DAP menyeru kepada 2.6 juta pengundi Johor agar tidak membiarkan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak merampas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kempen “Malu Apa Bossku” yang menenggelamkan keperluan Kerajaan Johor yang baharu menjadikan kehidupan rakyat lebih baik dengan menangani kos sara hidup, cukai baharu, kenaikan denda kompaun kerana melanggar SOP COVID-19 dan isu mata pencarian. Kempen peribadi Najib terselit dengan kepentingan diri untuk menumpang jangkaan kemenangan BN sebagai modal politik untuk menyelamatkan dirinya daripada penglibatannya dalam skandal RM52 bilion 1MDB.
Walaupun disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta bukti yang tidak dapat dinafikan di seluruh dunia bahawa ratusan juta ringgit telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya, Najib terus hidup dalam dunia sendiri bersama BN seolah-olah beliau tidak bersalah dan bebas daripada skandal 1MDB. Kepentingan dan mata pencarian 2.6 juta pengundi adalah lebih penting daripada nasib seorang yang telah disabitkan bersalah dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan digelar sebagai sesuatu yang memalukan negara oleh Mahkamah Rayuan.
Atas sebab ini, 2.6 juta pengundi Johor perlu keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 12 Mac bagi memastikan kebimbangan mereka terhadap mata pencarian dan kos sara hidup mesti ditangani. Dengan inflasi dan kenaikan harga yang diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menyebabkan harga minyak melebihi USD110 setong, kerajaan masih belum mewujudkan Dana Penstabilan Harga.
Apa gunanya kestabilan politik jika tiada kestabilan harga? Bagi mengawal kenaikan harga, DAP telah mencadangkan Dana Penstabilan Harga dengan dana benih permulaan sebanyak RM3 bilion yang diperoleh daripada Cukai Makmur atau cukai durian runtuh yang diperkenalkan tahun ini. Sebagai tindak balas, kerajaan menjawab di Parlimen bahawa mereka masih mengkaji cadangan DAP untuk Dana Penstabilan Harga.
Kedua, dengan kenaikan harga tetapi gaji tidak naik, ramai yang tidak dapat menampung kehidupan mereka. Kerajaan harus membenarkan orang ramai mengeluarkan caruman KWSP mereka jika tidak sebanyak RM10,000, maka sekurang-kurangnya RM5,000 untuk membolehkan mereka memenuhi obligasi kewangan mereka.
Ketiga, menangguhkan kenaikan tarif elektrik sehingga 20% untuk 1.6 juta pengguna perniagaan dan industri mulai Februari untuk membantu perniagaan pulih daripada pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Keempat, menangani kekurangan pekerja yang teruk sehingga memaksa perniagaan mengurangkan operasi mereka.
Mansuhkan Cukai Baharu Ke Atas Pendapatan yang Dibawa Balik Dari Luar Negara Oleh Syarikat Malaysia dan Hentikan Kenaikan Kompaun Kerana Melanggar SOP COVID-19.
Kelima, saya telah mendapat maklum balas awam yang kuat bukan sahaja dari Johor tetapi juga di seluruh negara mengenai cukai baharu dalam Belanjawan 2022 yang dikenakan tahun ini ke atas syarikat yang membawa balik dana yang diperoleh di Singapura dan negara luar. Hanya menunggu masa sebelum cukai serupa dikenakan ke atas individu yang membawa balik gaji atau pendapatan mereka dari Singapura.
Tidak boleh ada satu negara, dengan dua sistem, yang mana cukai dikenakan ke atas syarikat tetapi bukan individu. Pengundi bimbang bahawa pekerja Malaysia di Singapura akan dikenakan cukai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila membawa pulang pendapatan mereka ke Johor. Atas sebab ini, 2.6 juta pengundi Johor perlu menolak BN sepenuhnya pada 12 Mac untuk mendesak pemansuhan cukai yang tidak munasabah ini, apabila kita sepatutnya menggalakkan syarikat Malaysia untuk membawa balik wang ke Malaysia.
Keenam, menarik balik cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang akan diluluskan di Parlimen selepas hari pengundian pada 12 Mac untuk menaikkan denda kompaun bagi individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan bagi syarikat kepada RM1 juta, serta apabila disabitkan di mahkamah, penalti akan dinaikkan kepada denda RM100,000 bagi individu dan RM2 juta bagi syarikat.
Jika rakyat mengundi menentang Merajaan BN, Ahli Parlimen PH akan mempunyai peluang lebih besar untuk mengalahkan cadangan pindaan kerana kami akan bersuara bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen tetapi dengan sokongan 2.6 juta pengundi Johor bersama kami. Kerajaan harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mereka menguruskan pandemik COVID-19 dan tidak menyalahkan rakyat dengan menaikkan penalti dan denda kompaun.