Di tengah pandemik Covid-19 yang masih belum selesai, Barisan Nasional membubarkan DUN Johor untuk membolehkan perlaksanaan pilihanraya Negeri Johor yang sedang di berlaku sekarang untuk meneruskan momentum daripada kemenangan besar di Melaka bulan November lalu.
Walaupun diingatkan oleh pelbagai pihak untuk tidak meneruskan dengan pembubaran DUN Johor demi keselamatan dan kesihatan rakyat, namun BN masih berdegil dengan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab. Bilangan kes covid-19 meningkat dengan tinggi sekali sehingga ada 33,384 kematian setakat 9hb Mac 2022.
Dengan pimpinan Presiden UMNO Zahid Hamidi, BN ingin menggunakan momentum kemenangan daripada Melaka untuk mendapat mandat selesa di Johor supaya boleh paksa untuk pembubaran parlimen bagi Pilihanraya ke-15.
Jika momentum BN berterusan, ini akan menguatkan lagi Presiden UMNO sekaligus membolehkan beliau untuk menuntut jawatan Perdana Menteri ke 10.
Dengan ura-ura Zahid Hamidi sebagai PM ke-10, kes mahkamah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang beliau lalui sekarang ini kemungkinan akan ditutup pada masa terdekat dan akan mengurangkan lagi keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan kehakiman negara yang mulai diyakini sejak zaman Kerajaan Pakatan Harapan.
Harus diingati bahawa ini adalah kali pertama Presiden UMNO bukan Perdana Menteri walaupun UMNO adalah dalam kerajaan. Sudah tentu Zahid Hamidi yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri ingin menjadi Perdana Menteri pada masa terdekat.
Situasi sebegini hanya akan mengurangkan keyakinan pelabur dari luar. Biasanya pelabur akan melihat pelbagai faktor seperti index rasuah dan situasi politik semasa.
Jika pelabur was-was, mereka mungkin tidak akan melabur di negara kita dan kemungkinan akan meningkatkan kadar pengangguran. Dengan keadaan sekarang pun kita sudah hilang pelaburan kepada negara jiran Asia Tenggara yang lain.
Sejak langkah Sheraton sehingga sekarang, politik tanah air tidak menjadi stabil. Puncanya adalah kerana sikap Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang berebut kuasa untuk kepentingan masing-masing walaupun Pakatan Harapan memberikan jaminan kepada kerajaan sedia ada untuk membantu stabilkan situasi politik tanah air demi keselamatan dan kesihatan rakyat sejagat. Pakatan Harapan juga bersetuju untuk menyokong Rang Undang-undang Anti Lompat parti supaya kita boleh menghentikan budaya ‘politik katak’.
Slogan BN untuk menjual konsep ‘kestabilan’ sebagai tema PRN Johor ini adalah sesuatu yang tidak jujur dan hanya akan meneruskan perebutan kuasa terutamanya di kalangan pemimpin UMNO kerana pemilihan parti itu akan berlaku tidak lama lagi. Politik dalaman UMNO hanya akan membuat politik negara kucar kacir.
Di PRN Melaka lalu, BN tidak mendapat peningkatan undi ketara dari pru ke-14 lalu. Oleh itu adalah penting bagi pengundi luar balik mengundi Pakatan Harapan untuk menghalang UMNO daripada memporak-porandakan politik negara kita yang akan beransur ke pemulihan supaya rakyat dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang ketidaktentuan.