1. DAPSY Kebangsaan menegaskan bahawa jika benar mahu berbicara soal “adab” dan penghargaan, UMNO Johor wajar menjawab dua persoalan.
2. Pertamanya, ketika UMNO mengalami kekalahan paling teruk pada PRU lalu, siapakah yang bersama-sama melawan gelombang PN untuk mengelakkan sokongan UMNO tidak terus dihakis?
3. Keduanya, selepas PRN 2023, siapakah yang tidak berdendam agar UMNO boleh bersama dalam pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang yang tidak pernah berlaku sejak tahun 2008, serta memberikan kerusi selamat kepada UMNO untuk menang di beberapa negeri, malah terus menjamin kestabilan kerajaan di Perak dan Pahang dengan menyokong calon UMNO untuk menjadi Menteri Besar?
4. Pada PRN 2023, kerjasama dan rundingan kerusi antara PH dengan BN khususnya prinsip mengelakkan pertembungan sesama PH dan BN telah memberikan nyawa kepada UMNO untuk kekal relevan dalam medan politik Malaysia. Ini hakikat politik yang tidak boleh dipadamkan sesuka hati.
5. Namun, DAPSY melihat ada segelintir pihak dalam kalangan mereka yang bagai kacang lupakan kulit. Ketika Kerajaan Perpaduan sedang berdepan cabaran ekonomi global, ada yang memilih menggugat kestabilan kerajaan Negeri Sembilan, malah ada yang kononnya mahu “perang habis-habisan” di Johor, seolah-olah mereka tidak memegang sebarang jawatan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan padahal bilangan Menteri dan Timbalan Menteri mereka adalah antara paling banyak sekali berbanding dengan parti lain.
6. Ironinya, suara dalam kalangan UMNO sendiri seperti Lokman Adam telah menyatakan bahawa UMNO tidak mampu untuk menang sendiri sekiranya bertanding bersendirian, dan menasihati agar kerjasama Kerajaan Perpaduan dikekalkan.
7. Penganalisis politik termasuk Hisommudin Bakar dari Ilham Centre dan Azmil Tayeb dari USM juga menyatakan bahawa UMNO tidak mampu mengalahkan PN dalam gelanggang politik identiti Melayu-Islam. Ini bermakna UMNO masih memerlukan sokongan pengundi bandar dan bukan Melayu yang hanya boleh diyakinkan melalui kestabilan, prestasi dan kesederhanaan, bukan retorik yang merosakkan.
8. DAPSY turut mengambil maklum unjuran oleh Tindak Malaysia yang menunjukkan bahawa PH berpotensi membentuk kerajaan negeri Johor dengan 29 kerusi sekiranya pilihan raya umum dan pilihan raya negeri berlangsung serentak pada tahun 2022. Mungkin Ketua Pemuda UMNO tidak faham retorik semudah sedemikian.
9. DAPSY ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan wujud atas mandat kestabilan dan kerjasama. Jika ada pihak yang cenderung untuk menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan, maka DAPSY menyeru PMX untuk membubarkan parlimen segera demi mengadakan PRU serta PRN Johor dengan negeri-negeri lain secara serentak agar rakyat diamanahkan untuk membuat keputusan secara jelas dan muktamad secara sekaligus untuk menghukum pengkhianat.