Saya hairan bagaimana peningkatan kes penderaan seksual kanak-kanak saban hari masih tidak mengundang sebarang reaksi drastik daripada Kementerian Pembangunan Wanita Keluar dan Masyarakat yang diketuai Rina Harun.
Pihak Kementerian beserta agensi-agensi berkaitan sewajarnya mengambil tindakan tegas terhadap para pelaku selain merangka langkah-langkah yang lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa.
Angka kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang sebagai contoh, adalah amat membimbangkan. Bilangan kes di Seberang Perai adalah dua kali ganda bilangan kes di Pulau Pinang. Lebih 70% daripadanya melibatkan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun, manakal majoriti kes cabul dan serangan seksual melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Menurut data pihak polis, bagai separuh pertama tahun 2020, sejumlah 1,721 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah berlaku. Ini bermakna bahawa pihak polis menerima purata sebanyak 286 laporan setiap bulan. 28% daripada kes-kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Angka ini akan meningkat sebanyak 50% pada 2021.
Justeru itu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil inisiatif untuk membangunkan dasar-dasar yang akan dapat melindungi kanak-kanak, menghukum para pesalah, membangunkan persekitaran dan institusi yang selamat serta merangka kursus-kurus kaunseling dan psikologi untuk membolehkan mangsa-mangsa kembali menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan jauh daripada ketakutan.
Apakah yang sedang menjadi tumpuan kementerian Rina Harun sehinggakan sebarang langkah untuk memperkukuh kajian tentang dasar-dasar yang melindungi kanak-kanak nampaknya begitu perlahan, malah seakan tidak bergerak langsung? Adakah Rina tidak merasakan bahawa keselamatan kanak-kanak bukan keutamaan beliau?
Sekiranya Rina Harun tidak mampu menjalankan tanggungjawab beliau dengan baik, dan lebih mementingkan reputasi politik beliau sahaja, Rina sepatutnya sedar diri dan mengaku bahawa ini ternyata bukan bidang kepakarannya, serta meletakkan jawatan. Nasib kanak-kanak ini tidak boleh dibiarkan berada dalam tangan seorang menteri yang tidak tahu apa yang perlu dikerjakan.