Skip to content

Pemimpin MCA usah kelirukan orang Melayu – Islam

Saya ingin memberi komen berkenaan ciapan Naib Presiden MCA, Senator Ti Lian Ker yang mengaitkan situasi Najib Razak dengan sikap maaf bermaafan orang Melayu – Islam negara ini.

Dalam budaya Melayu dan ajaran Islam, sifat maaf memaafi adalah menjadi amalan. Tetapi ia perlu dilakukan secara jujur dan beberapa fasa iaitu mengakui kesalahan, bertaubat dan tidak mengulanginya perbuatan tersebut, selanjutnya memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa.

Apa yang dilalui Najib Razak adalah sebuah kesalahan yang telah diadili dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Secara ringkasnya boleh difahami begini, seseorang itu didakwa curi duit rakyat, seleweng duit rakyat dan salah guna kuasa kemudian di tangkap, dibicarakan dan didapati bersalah. Setelah melalui beberapa peringkat proses mahkamah, si pelaku tersebut didapati bersalah namun si pelaku tidak mengaku bersalah.

Cuba Ti Lian Ker fahamkan bagaimana rakyat boleh berasa kasihan dalam situasi tersebut, malah sebenarnya rakyat makin meluat. Apapun, terima kasihlah di atas kepedulian beliau kepada Najib.

Senator Ti perlu ketahui bahawa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sendiri sudah meluat, mencuri Milo dan telur ayam pun boleh dipenjara jika didapati bersalah inikan pula kesalahan merompak wang rakyat yang kesnya memgambil masa bertahun-tahun dan menghabiskan lagi banyak wang rakyat.

Rakyat mahukan taraf banduan tetap sama, sama ada orang politik mahupun orang biasa.