Media melaporkan kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang berkata semua pihak harus siap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam musim banjir dan menganggap kejadian banjir sebagai ‘takdir tuhan’.
Kenyataan pemimpin MCA itu yang sewenang-wenang menggunakan istilah ‘takdir tuhan’ semacam sudah terdesak bagi menghalalkan tindakan seolah-olah memberi gambaran kerajaan akan melaksanan PRU dalam musim banjir.
Bagi saya manusia memang merancang dan tuhan yang menentukan. Dari akal yang sihat, jika sudah menjadi kelaziman 70% musim banjir berlaku setiap akhir tahun, menggunakan istilah ‘takdir tuhan’ seperti kurang sesuai.
Namun apa nak dihairankan, ada ‘sahabat’ mereka malah menggunakan hujah agama untuk menghalalkan tindak tanduk mereka yang sebelum ini tidak boleh. Persoalannya adakah mereka sendiri benar-benar mahu PRU di musim banjir?
Saya berpandangan, kerajaan harus memilih masa yang benar-benar sesuai bukannya dalam musim banjir agar proses pilihanraya ini dapat melibatkan seluruh rakyat yang layak. Kita mahu proses demokrasi ini dapat dilaksanakan dengan lancar.