Saya telah mengeluarkan kenyataan berkenaan layanan dua darjat DBKL terhadap Pasar Pagi Terbuka, kerana DBKL membenarkan perniagaan Pasar Berbangunan dan Bazaria tetapi melarang operasi Pasar Pagi Terbuka.
DBKL menjawab kenyataan saya hari ini dengan menyatakan DBKL mengikut arahan PKP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), di mana Pasar Pagi Terbuka adalah sama seperti pasar malam/pasar tani yang tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi.
Saya rasa pelik atas jawapan DBKL terhadap kenyataan saya. SOP Am PKP yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2021 jelas menyatakan “Pasar harian dan pasar awam dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi hingga 2.00 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.”
Adalah jelas bahawa Pasar Pagi Terbuka adalah di dalam kategori “pasar harian” dan “pasar awam” dalam SOP Am PKP. Kenapakah DBKL tidak mengikut SOP Am PKP dan melarang Pasar Pagi Terbuka beroperasi? Bukankah larangan DBKL ini bercanggah dengan SOP Am PKP oleh MKN?
Saya berharap Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar boleh membetulkan kesilapan dari segi interpretasi arahan SOP PKP ini dengan secepat mungkin. Memandangkan PKP akan berterusan hingga 28 Jun 2021, penutupan Pasar Pagi Terbuka bukan sahaja melanggari SOP Am PKP, ia juga menjejaskan mata pencarian ribuan penjaja Pasar Pagi Terbuka di Kuala Lumpur.
Saya ingin menegaskan sekali lagi, sekiranya Pusat Penjaja, Pasar Berbangunan dan Bazaria dibenarkan beroperasi oleh DBKL, maka layanan yang sama juga harus diberi kepada Pasar Pagi Terbuka.