Skip to content

Tidak ada rugi meminjam RM45 bilion dari pasaran hutang domestik untuk membantu syarikat dan rakyat Malaysia yang bergelut dengan masalah kewangan

Rakyat Malaysia akan mendapat manfaat, dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan rugi dengan meminjam RM45 bilion dari pasaran hutang domestik bersaiz RM1.3 trilion untuk membantu syarikat-syarikat dan rakyat Malaysia yang bergelut dengan masalah kewangan menghadapi kesan buruk ekonomi dari ‘total lockdown’. Muhyiddin telah mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri pertama dalam sejarah, di mana Yang DiPertuan Agong telah mengambil langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mendapatkan pandangan semua pemimpin parti politik, termasuk parti pembangkang, mengenai Darurat, krisis kesihatan COVID-19, ekonomi dan demokrasi berparlimen.

Kerajaan PN perlu mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang bersifat keseluruhan-masyarakat (whole-of-society) yang dapat menyuntik RM45 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia berikutan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan untuk tempoh 14 hari lagi hingga 28 Jun. Sebelum ini, Muhyiddin telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion dengan dana baru hanya RM5 bilion berikutan fasa pertama PKP ‘total lockdown’ selama 2 minggu pada 1 Jun.

Oleh kerana ‘total lockdown’ akan dilanjutkan 2 minggu lagi, perlu ada satu lagi pakej bantuan kewangan untuk membantu syarikat yang menghadapi tekanan ekonomi dan pekerja yang kehilangan kerja. PN sendiri tidak dapat menafikan bahawa kegagalan keseluruhan-kerajaan (whole-of-government) dalam membendung COVID-19, secara tragisnya telah menyebabkan jumlah kes dan kematian tertinggi COVID-19 di Malaysia.

Dengan anggaran kerugian ekonomi harian sebanyak RM2.4 bilion seperti ketika ‘total lockdown’ PKP1.0, kerugian ekonomi negara dianggarkan sekurang-kurangnya RM 60 bilion. Suntikan tunai sebanyak RM 45 bilion ke dalam ekonomi akan membantu mengurangkan senario kes kerugian RM60 bilion ini. DAP mengulangi bahawa suntikan tunai sebanyak RM45 bilion ke dalam ekonomi mesti memberi manfaat secara terus kepada pekerja dan perniagaan merangkumi:

  • Kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur, membabitkan kos RM7 bilion untuk baki 7 bulan tahun ini sehingga selesainya Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) pada 31 Disember 2021 bagi mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya 80%;
  • pelanjutan automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk Kumpulan 20% Teratas, sehingga PICK selesai pada akhir tahun. Ini akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia. Kosnya harus ditanggung oleh industri perbankan, yang mencatatkan keuntungan selepas cukai yang masih sihat hampir RM23 bilion untuk tahun 2020 berbanding RM32.3 bilion pada tahun 2019;
  • insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, merangkumi insentif upah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan dan insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan kepada majikan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada 300,000 pekerja Malaysia membabitkan kos RM6.5 bilion setahun. Pengangguran belia masih pada tahap tinggi 13.4% pada bulan Mac 2021;
  • RM3.5 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan PICK dengan pantas dan lancar, mempertingkatkan 3T – ujian, pengesanan dan rawatan, meningkatkan kapasiti dan kemampuan hospital serta peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelakkan kelumpuhan sistem kesihatan awam negara; dan
  • RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit; untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang telah lumpuh.

Apa yang diperlukan untuk keluar dari kemelesetan ekonomi adalah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian ekonomi. Kaedah lama dengan bantuan ‘one-off’ adalah sekadar tindakan melepas batok di tangga yang tidak akan dapat melindungi mata pencarian ekonomi pekerja biasa dan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan.

Bantuan kewangan tidak boleh terhad kepada kumpulan B40 tetapi juga kumpulan M40 untuk mengelakkan mereka terjerumus ke dalam kumpulan B40. Sama seperti menolak untuk mengadakan Parlimen walaupun semua Ahli Parlimen telah diberi vaksin, lanjutan ‘lockdown’ selama dua minggu lagi tanpa bantuan kewangan tambahan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak wajar.