Saya ingin menyeru Kabinet untuk memberi perhatian serious terhadap percanggahan pendapat antara dua orang anggota Kabinet dalam isu permohonan perkhidmatan ‘teksi motosikal’ oleh ‘Dego Ride’, iaitu di antara Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Sukri.
Menteri Pengangkutan telah mengumumkan bahawa soal kelulusan Dego Ride adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan kementeriannya telah menolak permohonan Dego Ride untuk menawarkan perkhidmatan ‘teksi motosikal’ atas aspek keselamatan, manakala Nancy Sukri pula berkata Kabinet tidak pernah mengeluarkan apa-apa keputusan secara rasmi berkenaan dengan permohonan tersebut.
Percanggahan pendapat antara kedua-duanya secara terbuka sekali lagi melunturkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan Kabinet dalam membuat keputusan mesyuarat dan mentadbir kerajaan.
Ianya juga menimbulkan masalah lama terhadap pembahagian tugas yang tidak spesifik di kalangan 35 orang menteri kabinet akibat bilangan menteri kabinet yang terlampau besar.
Apapun sekali, sekiranya hujah Menteri Pengangkutan itu benar, adakah tidak boleh kalau Kerajaan menetapkan melalui undang-undang untuk mendenda operator dan penunggang Dego Ride yang melanggari undang-undang pengangkutan, contohnya tidak memakai topi keledar mengikut piawaian yang ditetapkan?
Bukankah lebih baik kalau kerajaan dapat mengawalselia perkhidmatan Dego Ride, seperti apa yang bakal dilakukan terhadap Uber dan Grab Car, daripada kerajaan menolak terus permohonan Dego Ride?
Apatah lagi Dego sudah menawarkan perkhidmatan ‘Dego Send’, iaitu perkhidmatan kurier yang dijalankan melalui platform e-hailing, seperti Uber dan Grab Car.
Saya bersetuju dengan kenyataan ‘Dego Ride’ bahawa ianya mempunyai potensi untuk meningkatkan pendapatan golongan bawahan. Malahan, sekiranya dilaksana dan dirancang dengan baik, barangkali Dego Ride mungkin akan menyelematkan golongan Mat Rempit daripada kancah perlumbaan motosikal haram, walaupun Dego Ride menetapkan syarat yang sangat ketat terhadap penunggangnya, termasuk semakan latar belakang penunggang, penggunaan motosikal di bawah lima tahun dan tidak pernah diubahsuai serta latihan-latihan mandatori terhadap penunggang dan sebagainya.
Barangkali pada masa depan, maklum balas pelanggan terhadap penunggang-penunggang Dego Ride boleh digunakan oleh kerajaan untuk mengawal pengeluaran lesen memandu kepada mereka yang didapati memandu atau menunggang secara melulu.
Apa pun sekali, kerajaan harus beringat bahawa selain daripada kawalselia kerajaan terhadap Dego Ride, ianya masih bergantung kepada sambutan pasaran terhadap perkhidmatannya. Sekiranya Dego Ride mendedahkan pelanggan kepada risiko yang tinggi, bukan kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, malahan pelanggan dan pasaran pun akan menolak perkhidmatan Dego Ride.
Selain itu, perkhidmatan Dego Ride juga akan memberi persaingan yang sihat terhadap perkhidmatan Uber dan Grab Car, selain menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan awam yang masih serba kekurangan dewasa ini.
Natijahnya, Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan tidak harus tergesa-gesa menolak permohonan Dego Ride. Sebaliknya, Kabinet harus menyelami isu ini dan menjadikannya sebagai satu strategi serampang dua mata untuk mengatasi beberapa masalah yang dinyatakan di atas.