Sebagai Ahli Parlimen Bagan, saya berasa kesal bahawa kawasan Parlimen Bagan hanya diberikan 277 peranti digital daripada 150,000 orang penerima dari kalangan pelajar B40. Pemberian 150,000 peranti digital telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan seharusnya diberikan mengikut keperluan dan bukanlah berdasarkan faktor lain.
Sekiranya 150,000 peranti digital diagihkan secara sama-rata kepada 222 kawasan Parlimen di Malaysia, maka setiap kawasan Parlimen akan menerima 676 peranti digital. Mengikut surat oleh Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin (dilampirkan) kepada saya pada 30 September, hanya dua buah sekolah di kawasan Bagan yang menerima 277 peranti digital dan bukanlah 676 peranti digital.
Sepatutnya perlu ada satu garis dasar di mana setiap kawasan Parlimen harus diberikan sekurang-kurangnya 500 peranti digital dengan baki selebihnya boleh diagihkan ke kawasan lain berdasarkan keperluan. Radzi harus menjelaskan apakah kriteria pemberian peranti digital supaya rakyat tahu asas pemberian yang dibuat mengikut kawasan Parlimen tertentu.