Skip to content

Saya sedia untuk berdebat dengan Wee tentang isu kabotaj yang penting untuk masa depan digital negara pada hari Sabtu 23 Oktober 2021, sebelah malam

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah membuat satu lagi dakwaan palsu dengan menuduh saya telah menjerit dan melenting semalam di persidangan Dewan Rakyat semasa saya menanya mengapa Wee tidak menyusuli cabaran beliau untuk berdebat dengan saya. Wee telah mencabar saya berdebat pada 30 September di Parlimen berkaitan dasar kabotaj beliau yang menyebabkan Malaysia kehilangan pelaburan berteknologi tinggi bernilai hampir RM15 bilion. Pada hari yang sama juga, saya dengan serta mertanya telah menerima cabaran berdebat tersebut.

Hansard Parlimen semalam boleh membuktikan bahawa Wee tidak bercakap benar apabila beliau menuduh saya menjerit dan melenting di Parlimen. Media massa tidak melaporkannya seperti mana yang didakwa oleh Wee, malah saya langsung tidak ditegur oleh Speaker Azhar Azizan Harun. Sebaliknya Azhar mengesahkan bahawa beliau mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat semasa cabaran berdebat dibuat oleh Wee dan menyatakan kesediaan untuk mengusulkan perkara itu kepada Wee.

Cabaran berdebat oleh Wee ke atas saya adalah berkaitan status kehilangan pelaburan luar negara daripada projek Apricot, Facebook dan Google dan anggaran kehilangan pelaburan luar negara antara RM12 bilion sehingga RM15 bilion oleh Pengerusi MDEC Dr. Rais Hussin Haji Mohamed Ariff ekoran keputusan Wee membatalkan pengecualian kabotaj untuk syarikat berteknologi tinggi yang dahulunya diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Saya sedia untuk berdebat dengan Wee tentang isu kabotaj ini yang penting untuk masa depan digital negara pada hari Sabtu 23 Oktober 2021, sebelah malam, sekiranya dipersetujui oleh Wee.