Skip to content

Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) perlu diutamakan

Kerajaan Pusat perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Penangguhan projek berkaitan sebagaimana diumumkan Menteri Pengangkutan dalam Sesi Ucapan Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat semalam adalah perlu dinilai serta dilihat semula.

Hakikatnya, pelan Kebenaran Merancang bagi projek pembesaran LTAPP telah lama diluluskan iaitu sebelum Kerajaan Pusat memutuskan pelaksanaan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang (NASP) bagi semua lapangan terbang dalam negara sehingga tempoh 2023.

Kerajaan Negeri telah beberapa kali mendesak supaya kerja-kerja naik taraf serta pembesaran LTAPP dilaksanakan tanpa perlu menunggu keputusan NASP, namun tiada maklum balas positif yang diberikan.

Mengambil kira situasi COVID-19, kerja-kerja naik taraf serta pembesaran LTAPP boleh dilaksanakan kini tanpa sebarang kesesakan penumpang. Malah, usaha ini sekaligus dapat menyediakan LTAPP pada tahap terbaik sebaik sekatan perjalanan serta pintu sempadan dibuka kelak.