Skip to content

KDN perlu semak elaun PDRM sebagai usaha melawan rasuah

Keyakinan rakyat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)adalah penting. PDRM harus memastikan tahap integriti anggota-anggotanya berada pada paras yang paling tinggi.

Tetapi, rakyat sudah mula berasa sangsi terhadap kewibawaan pasukan PDRM menyelesaikan kes-kes yang ditanganinya. Sering kali kita mendengar bahawa si mangsa sesuatu kejadian jenayah tidak mahu membuat laporan polis.

Orang ramai pula tidak mahu mendedahkan kepada pihak polis mengenai sesuatu jenayah berat seperti aktiviti pengedaran dadah di sesuatu kawasan kediaman. Begitu juga, terdapat hubungan erat di antara anggota PDRM dengan kumpulan kongsi gelap di tempat-tempat tertentu. Kegagalan polis melenyapkan perjudian haram seperti mesin kuda menjadi satu tanda tanya.

Semua ini membuktikan bahawa kewibawaan dan integriti PDRM telah susut di kaca mata rakyat jelata. Apakah puncanya? Adakah semua ini berlaku kerana amalan rasuah yang berleluasa di kalangan pegawai tertinggi sehingga ke peringkat bawahan PDRM?

Dalam satu jawapan Parlimen, Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan statistik penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah. Menurut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2016, hanya 187 kes atau 0.15% daripada keseluruhan anggota PDRM yang terlibat dalam amalan rasuah.

Menurut Menteri lagi, penglibatan anggota dalam kes sedemikian lebih terdorong kepada desakan peribadi yang ingin hidup mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah yang berjenama dan mahal menyebabkan pendapatan dan perbelanjaan menjadi tidak seimbang.

Saya tidak tahu samada statistik yang dikeluarkan itu benar atau tidak. Tetapi, orang ramai boleh menilai perangkaan itu berdasarkan pengalaman masing-masing dengan pihak PDRM.

Niat saya bukan untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak. Yang penting, kita harus kembalikan nama baik dan kewibawaan pasukan polis kita. Imej PDRM perlu ditingkatkan pada paras terunggul berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Kerajaan harus mencari jalan untuk menghapuskan amalan rasuah dikalangan anggota-anggota PDRM. Adakah rasuah ini disebabkan gaji kakitangan PDRM yang rendah dan tidak lagi kompetitif dengan suasana kehidupan kini?

Jika itulah masalahnya, maka kerajaan perlu menyemak semula struktur gaji dan elaun-elaun anggota PDRM. Kerajaan perlu menyediakan kemudahan perumahan, keselesaan tempat bekerja serta memperkenalkan elaun-elaun baharu selaras dengan beban tugas yang semakin bertambah.

Kerajaan perlu sedar tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan anggota PDRM. Selagi masalah ini tidak diberi perhatian serius, gejala rasuah dikalangan anggota PDRM yang berterusan dan tidak boleh dikawal dengan mudah.