Skip to content

Kecewa dengan tindakan pemasuhan status pengecualian cukai terhadap institusi perubatan di Negeri Pulau Pinang

Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Penang Adventist Hospital berhubung dengan pemansuhan status pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ingin saya menyuarakan kekecewaan tindakan pemasuhan status pengecualian cukai tersebut terhadap institusi perubatan di Negeri Pulau Pinang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penang Adventist Hospital, pemansuhan status pengecualian cukai tersebut berkuatkuasa mulai 19 Ogos 2020 dan kini mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan resit yang mempunyai status pengecualian cukai yang diiktirafkan oleh LHDN.

Nasib yang ditimpa oleh Penang Adventist Hospital ini adalah susulan daripada tindakan yang sama memansuhkan status pengecualian cukai ke atas Hospital Lam Wah Ee dan Mount Miriam Cancer Hospital pada 10 Jun 2020.

Tindakan pemansuhan status pengecualian cukai ini sememangnya akan menjejaskan operasi institusi-institusi perubatan tersebut di Negeri Pulau Pinang yang mempunyai reputasi yang bagus di dalam memberikan perkhidmatan perubatan yang terbaik, bukan sahaja kepada rakyat di Negeri Pulau Pinang malah berjaya meletakkan nama Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelancongan perubatan yang terbaik sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi MCA Pulau Pinang pada 31 Julai 2020, Dato’ Tan Teik Cheng memaklumkan bahawa Menteri Pengangkutan YB Dato’ Seri Wee Ka Siong sedang mengadakan perbincangan bersama dengan Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan beliau mempunyai keyakinan bahawa MCA akan membantu kedua-dua institusi perubatan, iaitu Hospital Lam Wah Ee dan Mount Miriam Cancer Hospital untuk memulihkan status pengecualian cukai tersebut.

Namun adalah amat mengecewakan bahawa MCA bukan sahaja tidak berjaya memulihkan status pengecualian cukai bagi kedua-dua institusi perubatan tersebut, malah tambahan satu lagi institusi perubatan iaitu Penang Adventist Hospital yang telah kehilangan status pengecualian cukai tersebut.

Sehubungan dengan itu, saya menuntut supaya Dato’ Tan Teik Cheng dapat menjelaskan isu tersebut secara teliti. Adakah dengan campur tangan MCA keadaan tersebut menjadi semakin teruk dengan kini ketiga-tiga hospital telah kehilangan status pengecualian cukai? Apakah ini satu tindakan politik balas dendam semata-matanya Negeri Pulau Pinang merupakan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan?

Adakah MCA patut hentikan kononnya “bantuan” mereka sebelum lebih banyak institusi perubatan di Negeri Pulau Pinang mengalami nasib yang sama dan menjadikan situasi lebih teruk?