Kegagalan kerajaan Malaysia untuk menjaga dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia, dan menghalang kemasukan haram pendatang tanpa izin Filipina memasuki Sabah dan mengancam warganegara hanya kelihatan jelas apabila seorang pelancong asing terbunuh dan seorang lagi diculik. Media dan stesen televisyen Taiwan memaparkan imej buruk bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal apabila ia melaporkan soal kelalaian keselamatan, tindak balas polis yang lembap dan perhubungan awam yang buruk dalam menangani insiden yang melibatkan dua mangsa warga Taiwan.
Wujud kekurangan dari segi kesungguhan dan disiplin dalam memberi fokus terhadap asas-asas dalam menjaga keselematan. Pihak Polis Di Raja Malaysia telah menyebut bahawa seorang pengawal resort telah berlari untuk memaklumkan pusat operasi Pasukan Gerakan Am yang terletak 800m dari tempatnya. Televisyen Taiwan pula melaporkan apabila pengawal tersebut mendengar bunyi tembakan sewaktu insiden tersebut dan cuba berhubung dengan pihak polis, lapan pegawai di pulau tersebut tidak pun memberi respon kepadanya.
Kegagalan fundamental sebegini dan hakikat bahawa insiden tersebut mengambil tempat kurang daripada 1km daripada salah satu pengkalan Eastern Sabah Security Command (Esscom), yang diwujudkan selepas pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari; adalah bukti jelas bahawa Esscom gagal melaksanakan tugasnya. Pengganas Filipina terbabit juga telah menunjukkan bahawa mereka tidak gentar kepada pasukan keselamatan Malaysia.
Insiden jenayah yang berlaku begitu dekat dengan pengkalan Esscom telah menghancurkan ilusi keselamatan awam. Dengan kata lain, kegagalan sistem keselamatan ini telah menunjukkan bahawa tidak ada kawasan yang selamat daripada serangan pengganas Filipina ini.
Usaha lemah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengalihkan kemarahan Taiwan dan mengelak daripada dipersalahkan dengan mengatakan bahawa insiden ini boleh berlaku di mana-mana adalah bukan sahaja tidak sensitif malah tidak bertanggungjawab serta tidak langsung meredakan ketakutan sama ada kepada mangsa mahupun ahli keluarga mereka. Apa juga usaha yang dilakukan kerajaan BN untuk mengawal keadaan tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa kawalan keselamatan di kawasan Esscom telah gagal.
Cabarannya sekarang ialah untuk menentukan apa langkah yang wajar diambil bagi menimbulkan rasa gerun di kalangan penjenayah yang cuba mengganas di kawasan terbabit dan memastikan kejadian tidak berperikemanusiaan yang sama tidak berulang terhadap rakyat Malaysia mahupun pelancong yang tidak bersalah. Malangnya pihak berkuasa langsung tidak menyebut atau melakukan apa-apa yang memberi keyakinan bahawa pengganas ini akan dihukum dan mangsa akan diselamatkan mahupun jaminan bahawa kegagalan sistem keselamatan tidak akan berulang lagi.
Jika kerajaan Malaysia tidak dapat menyedia dan menjaga keselamatan negara, mungkin mereka patut mendapatkan bantuan daripada badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Saya pasti pihak PBB akan memberi respon baik kepada permintaan sedemikian memandangkan Malaysia telah banyak menyumbang kepada pasukan-pasukan pengaman PBB di seluruh dunia.