Kenyataan oleh Insitut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta secara amnya yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat dan bagi teksi pula, kereta berusia lebih 5 tahun tidak selamat membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia selama ini memperjudikan nyawa rakyat Malaysia.
Dasar Mahathir Mohamad, rakyat terutamanya anak muda, tiada pilihan
Rakyat Malaysia tiada pilihan kerana di bawah dasar pengangkutan negara sejak zaman Dr. Mahathir Mohamad yang berpremiskan “protectionism” untuk industri kereta nasional, kita terpaksa membeli kereta dengan harga mahal.
Mengikut Bank Negara pada suku pertama tahun 2013, hutang isi rumah paling besar datang dari pinjaman perumahan (45%) dan pinjaman sewa beli kenderaan (18%). Ramai terpaksa membiayai pinjaman kenderaan sehingga 9 tahun. Ini bermakna seketika sahaja selepas berjaya menjelaskan hutang tersebut, kereta yang mereka miliki sudahpun tidak selamat untuk dipandu.
Dalam keadaan ini, anak muda yang paling merana, kerana 83% anak muda berumur 30 tahun ke bawah mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Tanpa kereta persendirian mereka sukar untuk melaksanakan pekerjaan kerana sistem pengangkutan yang teruk. Dan kini, dengan kenyataan MIROS, anak muda tak beli kereta susah, beli susah, sudah beli pun susah!
Pemandu teksi temui jalan buntu
Pemandu teksi kini pula menemui jalan buntu. Mereka bergantung kepada kenderaan mereka untuk mencari makan dan kebanyakan mereka terpaksa membiayai sewa beli teksi dari 5-6 tahun sebelum memiliki teksi tersebut. Maka dari kenyataan MIROS, sebaik sahaja pemandu teksi tamat membiayai sewa beli, kenderaan tersebut sudah tidak selamat digunakan.
Selamatkan nyawa rakyat, ubah hala tuju dasar pengangkutan negara
Saya menggesa Perdana Menteri memperakui laporan MIROS tersebut dan berhenti memperjudikan nyawa rakyat Malaysia. Satu strategi menyeluruh perlu dirancang, termasuk:
- Mengambil cadangan manifesto Pakatan Rakyat untuk memansuhkan dasar protectionism industri kenderaan zaman Dr. Mahathir Mohamad;
- Mengubah dasar pengangkutan negara dari pergantungan ke atas kenderaan persendirian kepada pembangunan jaringan pengangkutan awam secara besar-besaran di seluruh negara; termasuk pada peringkat awalnya, menerima tawaran RM10 juta setahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mempertingkatkan khidmat bas awam Rapid Penang;
- Melaksanakan had jangka hayat kereta secara beransur-ansur selepas langkah-langkah di atas berjaya dilaksanakan agar tidak membawa beban besar kepada rakyat Malaysia.