Ingin saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang dan MCA Pulau Pinang yang kini cuba untuk menuding jari kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan khususnya dari segi keselamatan tempat bekerja berikutan dengan kes-kes aktif dan juga kluster COVID-19 yang berasal dari tempat bekerja di Negeri Pulau Pinang.
Kedua-dua parti kerajaan persekutuan tersebut pada hari ini mengeluarkan kenyataan seolah-olahnya tiada tindakan daripada Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu penularan jangkitan COVID-19 khususnya di tempat kerja dan melibatkan sektor perindustrian di Negeri Pulau Pinang.
Namun demikian, ingin saya merujuk kepada inisiatif “Safe@Work” yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada bulan Mac awal tahun ini di mana inisiatif ini sepatutnya mewujudkan satu dasar untuk menjadikan tempat kerja, khasnya sektor perindustrian dan perbuatan lebih selamat untuk mengatasi isu penularan kes di mana setakat Mac, 2021, 58.1% daripada jumlah kluster yang berjaya dikesan berasal dari sektor yang berkenaan.
Meskipun pihak Kementerian telah bersiap sedia dengan dokumentasi dan garis panduan seperti mana boleh dilayari di laman web rasmi “Safe@Work” MITI, namun sehingga hari ini inisiatif tersebut masih tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan telah gagal untuk mengambil langkah proaktif untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berasal dari sektor yang berkenaan.
Menurut pengumuman Perdana Menteri berhubung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang dibuat semalam, kenyataan Perdana Menteri telah turut menekankan bahawa semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 10 Mei 2021. Namun demikian, apakah jaminan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan sektor-sektor perindustrian dan pembuatan yang berkenaan tidak akan mewujudkan lebih banyak kes aktif sekiranya inisiatif “Safe@Work” yang diumumkan tersebut tidak dapat dilaksanakan lagi?
Selanjutnya, apakah jaminan untuk tenaga pekerja yang menceburi sektor ini dapat dilindungi dan tidak akan mewujudkan kluster yang baharu sekiranya inisiatif “Safe@Work” ini tidak dapat dilaksanakan?
Berhubung dengan pelaksanaan “Safe@Work”, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr. Chow Kon Yeow telah menyatakan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Persekutuan untuk memastikan dasar ini dapat dilaksanakan dengan segera dan secara berkesan untuk membantu di dalam proses pemulihan sektor yang berkenaan. Ini juga termasuk mempercepatkan suntikan imunisasi terhadap mereka yang terlibat di dalam sektor berkenaan dan ‘economic frontliners’ sebagaimana dipersetujui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.
Oleh itu, saya berharap agar Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang dan MCA Pulau Pinang dapat memohon kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar yang berkenaan dan bukan menuding jari serta mengelirukan isu berhubung dengan kluster tempat bekerja ini.
Kegagalan untuk melaksanakan dasar ini hanya akan mencerminkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membendung penularan wabak COVID-19 ini sehinggakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk kali ketiga terpaksa dilaksanakan selepas Rakyat Malaysia mengharungi dugaan PKP untuk kali pertama dan kedua.